Mohd Hairi Mad Shah

JOHOR BAHRU – Pertandingan enam penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak dianggap sebagai memberi kelebihan kepada Barisan Nasional.

Sebaliknya calon BN, Mohd Hairi Mad Shah, 38 berkata, parti itu akan kekal istiqomah dalam menghadapi persaingan daripada parti lawan.

“Kami tetap istiqomah. Kami rasa parti berpeluang untuk menang dan yakin rakyat akan menterjemahkan dengan kebijaksanaan yang mana Barisan Nasional telah memperjuangkan selama lebih 60 tahun untuk membantu rakyat.

“Khususnya di Larkin iaitu kawasan bandar yang rata-ratanya sedar pembangunan di negeri ini hasil daripada Barisan Nasional,” kata Mohd. Hairi.

Ketua Pemuda UMNO Johor itu ditanya sama ada pertembungan enam penjuru akan memberi kelebihan kepada BN di DUN Larkin.

Ada pihak mendakwa pertembungan banyak parti akan menyebabkan perpecahan undi yang sekaligus memberikan kelebihan kepada BN untuk menang dalam pilihan raya.

“Saya rasa ini adalah salah satu sistem demokrasi. Siapa sahaja yang mencalonkan diri kita harus mengalu-alukan.

“Bagi Barisan Nasional insya-Allah kami sedar dan beristiqomah dalam apa sahaja kedudukan penerimaan calon muka baru.

“Kelebihan bagi diri saya adalah saya seorang Ahli Majlis Johor Bahru yang lepas, sentiasa berada di bawah untuk membantu rakyat selama dua tahun,” katanya.

Mohd. Hairi yang merupakan bapa kepada tiga orang anak itu ditemui selepas selesai Majlis Penamaan Calon yang berlangsung di Dewan Serbaguna JKR Johor Baharu hari ini.

Selain BN turut bertanding adalah calon Pakatan Harapan Dr. Zamil Najwah Arbain, Perikatan Nasional yang meletakkan Zukifli Bujang, Parti Pejuang Tanah Air yang mempertaruhkan Mohamad Riadz Hashim.

Juga bertanding calon Muda, Rasid Abu Bakar dan Bebas Norramadan Buan.

Katanya, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 ramai rakyat yang sedar mengenai janji-janji kosong yang ditaburkan oleh Pakatan Harapan.

Justeru menurut Mohd. Hairi, sekiranya diberikan mandat beliau akan cuba yang terbaik dalam memenangi hati rakyat dan memperjuangkan apa sahaja yang boleh untuk rakyat Johor khususnya DUN Larkin.- MalaysiaGazette