PRN Johor DUN Endau
Calon Pakatan Harapan Mohamad Fakrulradzi Mahmud menarik perhatian pagi ini apabila tampil dengan berpakaian pengantin selepas melangsungkan upacara nikah tepat jam 8.38 pagi tadi ke Pusat Penamaan Calon Dewan Serbaguna Endau.

MERSING – Pertembungan empat penjuru dijangkakan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau bagi  Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15.

Suasana di sekitar Pusat penamaan Calon Dewan Serbaguna Endau Majlis Daerah Mersing pagi ini agak tenang dan terkawal dengan pemantauan oleh sepasukan anggota polis serta penguatkuasa Majlis Daerah Mersing.

Pegawai Kementerian Kesihatan juga melakukan persiapan akhir menyusun perkakasan saringan di pekarangan dewan penamaan calon yang akan dimulakan jam 9 pagi nanti.

Kerusi DUN Endau diramal bakal menyaksikan persaingan sengit antara Barisan Nasional dan juga Perikatan Nasional.

Calon BN iaitu Ketua UMNO Bahagian Mersing Mohd Youzaimi Md Yusof kali ini diturunkan dengan membawa misi merampas kembali kerusi tersebut.

Kerusi itu pernah dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 oleh calon BN iaitu Alwiyah Talib bagaimanapun beliau kemudian melompat parti menyertai Bersatu.

Kedua-dua calon berkenaan dijangka mencuri tumpuan pada PRN Johor kali ini pada 12 Mac ini.

Dalam pada itu pemantauan MalaysiaGazette di lokasi Pusat Penamaan Calon mendapati laluan utama di hadapan Pusat Penamaan Calon Dewan serbaguna Endau itu ditutup kepada kegunaan kenderaan awam.

Keadaan bagaimanapun terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Calon Barisan Nasional Mohd Youzaimi tiba tepat jam 8.07 pagi tadi diikuti calon Parti Pejuang Noorhisyam Ibrahim yang menggantikan Zaini Tahar yang disahkan Positif covid-19 tepat jam 8.15 pagi.

Kemudian penyandang dan juga calon Perikatan Nasional iaitu Alwiyah Talib tiba berpakaian baju kurung tepat jam 8.30 pagi.

Calon Pakatan Harapan iaitu Mohamad Fakrulradzi Mahmud menarik perhatian pagi ini apabila tampil dengan berpakaian pengantin selepas melangsungkan upacara nikah tepat jam 8.38 pagi tadi ke Pusat Penamaan Calon Dewan Serbaguna Endau.

Untuk rekod PRU14 lalu, Alwiyah menang kerusi berkenaan dengan majoriti 3,080 undi membabitkan persaingan tiga penjuru.- MalaysiaGazette