pilihan raya PBT
Mike Chong Yew Chuan

JOHOR BAHRU – MCA menggesa pihak berkuasa mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) kepada media yang bertugas membuat liputan pilihan raya.

MCA menyifatkan tindakan pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) mengenakan kompuan terhadap seorang wartawan ketika membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai tidak wajar.

Jurucakap parti itu, Mike Chong Yew Chuan berkata, KKM telahpun memberikan kelonggaran SOP bagi PRN Johor.

“Tambahan lagi di dalam setiap acara politik sudah tentu terdapat kehadiran orang ramai yang menyertainya dan tidak mengendahkan SOP yang ditetapkan.

“Sekiranya mereka ini tidak dikenakan kompaun, mengapa pula seorang wartawan yang hanya menjalankan tugasnya boleh dikenakan kompaun? Ini dilihat sebagai tidak adil dan tidak logik sama sekali.

“Dalam sebuah negara demokratik, pihak media memainkan peranan yang penting untuk menyiarkan informasi tepat serta mencerminkan denyut nadi rakyat di lapangan,” kata Mike Chong.

Serentak itu beliau menggesa agar semua pihak lebih profesional dalam memastikan kebebasan media dipelihara dan bukannya menyekat mereka dengan cara yang tidak sepatutnya.

Tambah Mike beliau, KKM sudah pun melonggarkan SOP bagi kontak rapat kes positif dengan pesakit tanpa gejala atau gejala ringan tidak lagi perlu menjalani kuarantin kendiri pada 1 Mac ini.

“Ini menunjukkan negara kita sedang dalam proses untuk kembali semula kepada kehidupan normal. Oleh itu, alasan yang diberi pihak KKM untuk kompaun tersebut dilihat tidak dapat diterima orang ramai.

“Kami percaya bahawa kesihatan rakyat diutamakan dalam penggubalan SOP ini, namun penguatkuasaannya haruslah dilaksakan secara lebih profesional bagi mengelak berlakunya kekeliruan,” katanya.

Artikel berkaitan:

Pagi tadi wartawan akhbar bahasa Mandarin, Wong Kian Yong, dikompaun RM1,000 kerana gagal memastikan penjarakan fizikal di majlis penanaman calon yang berlangsung di Dewan Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor Bahru.

Berdasarkan surat kompaun dikeluarkan KKM wartawan itu diberi tawaran kompaun bernilai RM1,000 kerana melakukan kesalahan berkenaan pada pukul 9 pagi.

Wartawan itu berkata, dia hanya mendekati calon untuk mendapatkan maklumat peribadi mereka seperti nama, gambar dan nombor telefon.

“Saya tidak sangka pula apa yang dilakukan itu merupakan satu kesalahan kerana hanya saya seorang yang dikenakan kompaun sedangkan pada waktu itu terdapat beberapa wartawan lain melakukan perkara sama,” katanya. – MalaysiaGazette