(dua dari kiri) Calon Barisan Nasional bagi DUN N.38 Penawar, Fauziah Misri, Calon Pakatan Harapan (PH), Norazila Sanip, Calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Faizal Asmar dan Calon PEJUANG, Rahmatullah Kamilin bergambar bersama selepas selesai menyerahkan borang pencalonan pada hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 26 FEBRUARI 2022.

DESARU – Kerusi Dewan Undangan Negeri (PRN) N38 Penawar bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru tanpa penyertaan wakil Bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Kesemua empat calon parti politik itu melibatkan Barisan Nasional (BN) Fauziah Misri; Perikatan Nasional (PN), Mohd Faizal Asmar; Pakatan Harapan (PH), Norazila Sanip dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rahmattullah Kamilin.

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) Pusat Penamaan Calon N38 Penawar, Fizwan Mohd Rashidi selepas pihaknya hanya menerima empat borang pencalonan selepas selesai proses bantahan, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Terdahulu, Calon BN, Fauziah menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.05 pagi.

Ia kemudian diikuti calon Pejuang, Rahmatullah pada jam 9.06 pagi, calon PH, Norazila pada jam 9.11 pagi serta calon PN, Mohd Faizal pada jam 9.13 pagi.

Terdahulu, Rahmattullah calon terawal tiba di Pusat Penamaan Calon N38 Penawar di Dewan Bandaran Bandar Penawar di sini kira kira jam 7.30 pagi bersama seorang penyokong dan pencadang.

Ini kemudian disusuli Fauziah yang tiba kira kira jam 8.19 pagi diiringi seorang penyokong dan pencadangnya.

Dua minit kemudiab, calon PH daripada Amanah, Norazila pula tiba di pusat bersama penyokong dan pencadang kira-kira jam 8.21 pagi.

Seorang lagi pencabar iaiti calon PN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Faizal pula tiba pada jam 8.55 pagi tadi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kerusi N38 Penawar dimenangi calon BN, Datuk Sharifah Azizah Al-Shahab dengan memperoleh 7,134 majoriti undi.

Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Johor yang mendapat 12,330 undi berjaya menumpaskan lawannya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahmad Kamah Nor dengan 5,196 undi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, hari undi awal ditetapkan pada 8 Mac manakala hari mengundi sebenar pada 12 Mac ini. – MalaysiaGazette