Melaka bercadang memperkenalkan sektor pelancongan sukan permotoran yang dilihat mampu 'menghalalkan'  mat rempit dan pelumba kereta.

JASIN – Melaka bercadang memperkenalkan sektor pelancongan sukan permotoran yang dilihat mampu ‘menghalalkan’  mat rempit dan pelumba kereta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang juga Exco Kesihatan dan Antidadah Negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, cadangan itu susulan sambutan luar biasa yang pada penganjuran lumba drag di Litar Pecut Merlimau malam tadi.

Menurutnya, penganjuran sulung acara selama tiga hari itu bermula Jumaat lalu berakhir hari ini disertai kira-kira 160 kenderaan melibatkan 90 buah kereta dan 70 motosikal sambil disaksikan lebih 2,000 pengunjung seluruh negara.

“Penganjuran program drag race ini tercetus apabila saya lihat ramai kumpulan belia berlumba secara haram membuatkan saya terfikir kerajaan perlu mencari kaedah ‘menghalalkan’ minat mereka.

“Usaha ini juga sekaligus dapat mencungkil bakat tempatan yang mungkin mampu mengharumkan nama negara dalam sukan permotoran setanding nama Valentino Rossi.

“Malah, saya fikir drag race ini mungkin boleh dijadikan sebagai acara tetap secara bulanan atau tahunan yang boleh dimasukkan dalam pelancongan permotoran di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan perasmian Dr AS 100 Days Drag Race di Litar Pecut Merlimau, Kawasan Perindustrian Merlimau Fasa 2 di sini malam tadi.

Hadir sama Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata, litar sepanjang 750 meter itu adalah litar lumba pertama yang bersifat kekal di Semenanjung Barat serta yang kedua dalam negara selepas yang pertama di Gong Badak, Kuala Terengganu.

“Litar Pecut Merlimau ini bersifat kekal maksudnya yang mana sesiapa sahaja boleh datang berlumba di sini dengan mematuhi segala peraturan ditetapkan tanpa perlu risau ditahan pihak berkuasa.

“Malah, setiap pelumba juga akan mendapat perlindungan insurans kemalangan dan saya yakin langkah ini dapat mengurangkan aktiviti lumba haram di jalan raya jika minat anak muda ini dapat disalurkan dengan cara yang betul,” katanya.- MalaysiaGazette