Pas Johor kini menyerahkan kepada Pas Pusat untuk menyiasat dan mengambil tindakan dalam menyelesaikan perkara itu.

JOHOR BAHRU – Badan Perhubungan Pas Johor kesal dengan tindakan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir, Najib Lep yang bertanding semula sebagai salah seorang calon bertanding atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pesuruhjayanya, Abdullah Husin berkata, pihaknya kini menyerahkan kepada Pas Pusat untuk menyiasat dan mengambil tindakan dalam menyelesaikan perkara itu.

Beliau menegaskan Pas Johor sesekali tidak pernah menyisihkan Najib malah berusaha memberikan keputusan yang terbaik untuk beliau.

“Pas Johor telah meletakkan Najib sebagai calon di DUN lain yang berpotensi untuk dimenangi berdasarkan kajian yang telah dibuat.

“Tindakan itu juga berikutan laporan di mana beliau menghadapi masalah dalaman berkomunikasi dengan jentera pilihan raya DUN Bukit Pasir yang mungkin boleh menjejaskan peluang beliau untuk terus memenangi DUN tersebut.

“Berdasarkan keadaan itu, Pas Johor telah berbincang dan membuat keputusan dengan persetujuan Pas kawasan berkenaan untuk mencalonkan beliau di DUN tersebut,” katanya pada sidang media Ibu Pejabat Pas Johor di Bandar Baru UDA di sini hari ini.

Semalam selepas proses penamaan calon, Najib membuat kejutan apabila diumumkan sebagai salah seorang calon bertanding atas tiket Bebas .

Najib yang merupakan calon Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) merupakan satu-satunya wakil rakyat parti berkenaan sebelum DUN dibubarkan pada 22 Januari lalu sekali gus memberi laluan kepada pelaksanaan PRN.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, pihaknya sedih apabila Najib bertindak menolak pencalonannya yang telah dipersetujui oleh Majlis Syura Ulamak di DUN yang baharu.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini berkata media, Najib telah menolak satu lagi kerusi ‘boleh menang’ yang ditawarkan kepadanya.

“Saya tegas (pada kepercayaan saya) semua ahli mesti mematuhi keputusan yang dibuat parti.

“Dengan tindakannya itu, secara automatik dia hilang keanggotaan dalam parti,” katanya kepada satu portal berita.

Sementara itu, keputusan Najib itu menyaksikan beliau akan berdepan pertembungan enam penjuru termasuk melawan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga daripada komponen Pas selain bersaing dengan calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan seorang lagi calon Bebas.

Bagi kerusi DUN Bukit Pasir, Najib akan menentang Mohd Akhiri Mahmood (Pejuang), Mohamad Fazli Mohamad Salleh (BN), Elia Nadira Sabudin (PH), Muhd Nur Iqbal Abd Razak (PN) dan Johar Siraj (Bebas).

Sebelum ini, pada PRU14, Najib dipilih sebagai ADUN di kawasan berkenaan selepas menang dengan majoriti 1,883 undi mengalahkan Noriah Mahat daripada BN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast