Khuzzan menyantuni pengundi-pengundi ketika melakukan walkabout di Bandar Penggaram, di sini hari ini.

BATU PAHAT – Masalah capaian komunikasi menjadi fokus utama untuk diselesaikan Khuzzan Abu Bakar sekiranya dipilih kembali sebagai wakil rakyat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah.

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, meskipun capaian internet di kampung-kampung di kawasan DUN berkenaan tidak lagi menjadi masalah, namun, perkara berkaitan capaian komunikasi masih belum selesai.

Katanya, ketika ini ramai yang bercakap berkenaan ekonomi digital tetapi untuk mencapai sasaran itu, isu berkaitan infrastruktur terhadap capaian komunikasi harus diutamakan terlebih dahulu.

“Untuk makluman di kawasan DUN Semerah hingga November 2021 kemasukan talian Unifi oleh Telekom Malaysia adalah sebanyak 85 peratus. Sekarang ini sudah masuk 90 peratus.

“Begitu juga dengan isu Telco sebelum ini rendah iaitu capaiannya adalah 75 peratus dan sekarang ini ada dua pemancar sedang dipasang di DUN Semerah,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas melakukan walkabout bertemu pengundi di Bandar Penggaram di sini. hari ini.

Dalam perkembangan lain, Khuzzan mengakui berasa sedikit kecewa terhadap situasi politik di Johor sehingga terpaksa diadakan Pilihan Raya Negeri.

Katanya, banyak perkara berkaitan usaha membantu rakyat di kawasannya terhenti ketika ini dan semua itu sebenarnya tidak akan berlaku jika pilihan raya tidak diadakan.

“Pusat khidmat kami di DUN Semerah ini sebenarnya setiap hari menerima banyak permohonan. Namun, bila berlakunya pilihan raya ini, semua itu tidak boleh disampaikan kerana nanti ia dikata sebagai sogokan.

“..tapi kita akan teruskan kerja ni selepas pilihan raya,” ujarnya. – MalaysiaGazette