Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad bercakap kepada media selepas Pelancaran Bengkel Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Wilayah Johor 2022 di Hotel Impiana, Senai. Foto FAREEZ FADZIL, 28 FEBRUARI 2022.

JOHOR BAHRU – Seramai hampir 200,000 rakyat Johor yang menetap di Singapura layak mengundi secara pos dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu pada 12 Mac ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, angka itu adalah daripada 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Beliau berkata, ia berdasarkan rekod pendaftaran di aplikasi ImmuPlan iaitu platform vaksinasi kerajaan negeri yang melaksanakan semua jenis program dan inisiatif membabitkan pembekalan vaksin.

“Saya percaya kaedah undi pos pilihan terbaik buat masa ini berikutan kuota Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dilaksanakan di sempadan Malaysia-Singapura hingga kini terhad.

“Ketika Johor sudah mendapatkan tarikh mengadakan PRN, kita memohon undi pos dibenarkan kepada pekerja Malaysia yang berada di negara jiran itu susulan mereka tidak dibenarkan membuang undi di kedutaan Malaysia di Singapura.

“Oleh kerana sekatan rentas negara, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akhirnya membenarkan permohonan kita bagi membuat undi pos, walaupun sebelumnya ia tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas selepas melancarkan Bengkel Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia di sini hari ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (kanan) menyaksikan Pengarah Urusan AIM, Shamir Abd Aziz (kiri) menyampaikan mok cek kepada Pengurus AIM Wilayah Johor, Nik Raza Nik Abdullah (kanan) pada Pelancaran Bengkel Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Wilayah Johor 2022 di Hotel Impiana, Senai. Foto FAREEZ FADZIL, 28 FEBRUARI 2022.

Hasni menambah, kebenaran undi pos itu merupakan pemudah cara buat rakyat Johor di Singapura bagi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dan menyumbang kepada proses demokrasi.

“Saya difahamkan, pihak SPR dalam proses menghantar kertas undi pos ke negara itu selepas senarai calon yang bertanding dimuktamadkan,” katanya.

SPR mengumumkan PRN Johor akan berlangsung pada 12 Mac dengan 8 Mac sebagai tarikh mengundi awal. – MalaysiaGazette