KUALA LUMPUR – Syarat menerima vaksin lengkap dua dos dan vaksin penggalak bagi membolehkan jemaah hadir ke masjid dan surau untuk menunaikan Solat Jumaat dibuat berdasarkan perkenan Sultan Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, perkenan ini merupakan keprihatinan baginda untuk mengelakkan jangkitan pandemik Covid-19 setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berikutan perkembangan terkini jangkitan pandemik tersebut.
Menurutnya, pendekatan menggalakkan rakyat negeri ini mengambil dos penggalak adalah bertepatan dengan salah satu prinsip Maqasid Syariah iaitu ‘memelihara nyawa’.
Kerajaan Negeri Selangor amat prihatin terhadap kesihatan dan kemakmuran rakyat jelata dan sentiasa berusaha mengambil tindakan terbaik untuk mencapai maksud tersebut.
”Kerajaan juga yakin bahawa perkenan Sultan Selangor mewajibkan pengambilan dos penggalak bagi menyertai solat fardhu Jumaat di masjid adalah berasaskan konsep Fiqhiyyah, iaitu sadd adz-dzara’i. Konsep ini bermaksud ‘mencegah sesuatu perkara yang boleh membawa kearah kerosakan dan bahaya’,” katanya.
Baru-baru ini Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkata, hanya jemaah lengkap dua dos vaksin dan dos penggalak, dibenarkan hadir menunai solat Jumaat di masjid seluruh Selangor.
Arahan itu bermula 25 Februari lalu.
JAIS berkata, langkah itu sejajar arahan mempertingkatkan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard di masjid, surau dan musolla di Selangor dalam usaha mengawal penularan pandemik Covid-19.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Selangor menasihati rakyat negeri agar segera mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 bagi memastikan kesihatan diri sendiri, keluarga dan kepentingan awam.
Dos penggalak ini boleh diambil secara percuma di pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) yang berhampiran. – MalaysiaGazette