Ronald Kiandee menyampaikan lesen dan enjin bot kepada wakil persatuan Nelayan Endau dalam Program Jelajah Dialog Egromakanan bersama komuniti Nelayan di Endau, Johor.

MERSING – Seramai 126 nelayan kelas Zon A diberikan lesen baharu selepas pelaksanaan proses pemutihan dilakukan di Endau, di sini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, ia merupakan pendekatan baharu kementerian itu bagi memastikan nasib golongan nelayan dibela menerusi kebenaran yang sah untuk menangkap ikan secara berterusan.

“Saya mendengar rungutan daripada persatuan nelayan khususnya di Endau bahawa terdapat ramai nelayan yang terlibat dalam kegiatan menangkap ikan di laut tanpa lesen.

“Kedaaan itu didakwa telah membahayakan mereka sehingga ada juga yang hilang ahli keluarganya yang tidak kembali ke darat turun ke laut untuk menangkap ikan.

“Justeru situasi ini juga mengakibatkan nelayan yang tidak berlesen tidak akan mendapat sebarang faedah termasuk elaun sara diri, minyak bersubsidi dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan lesen kelas A kepada wakil persatuan nelayan pada program Jelajah Dialog Agromakanan dan Perikanan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sini, hari ini.

Menurut Ronald, setakat ini antara 2,000 hingga 3,000 nelayan ditawarkan lesen kelas A.

Beliau yang ditanya mengenai tuntutan kenaikan elaun sara hidup nelayan kepada RM500 berbanding RM300 berkata, kerajaan akan mengkaji cadangan tersebut. – MalaysiaGazette