Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 30,624 kes sembuh Covid-19 dicatatkan berbanding 23,100 kes positif jangkitan virus itu semalam.

Berikutan itu jumlah kumulatif kes positif meningkat kepada 3,442,736 kes manakala jumlah kumulatif sembuh naik kepada 3,116,564 kes.

Menurut Kementerian kesihatan (KKM), daripada 23,100 kes harian yang dilaporkan itu, 186 kes (0.81 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5 manakala 22,914 kes (99.19 peratus) adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Katanya, daripada 23,100 kes positif Covid-19, sebanyak 298 kes import yang mana 262 melibatkan warga negara manakala baki 36 kes membabitkan bukan warga negara.

“Sebanyak 22,802 kes tempatan direkodkan untuk tempoh tersebut dan 652 bukan warga negara,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, sebanyak 361 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 133 kes disahkan Covid-19, 228 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.

Katanya, selain itu sebanyak 193 kes memerlukan bantuan pernafasan dengan 76 kes disahkan Covid-19, 117 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan. – MalaysiaGazette