KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan peruntukan lebih RM150 juta melalui pelaksanaan pelan pemulihan untuk membantu memaksimumkan hasil pengeluaran ladang dan aset milik TH Plantations Bhd (THP).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, peruntukan itu digunakan sebagai kos membaja dan memulihkan ladang THP supaya mampu menghasilkan pulangan optimum.

“Sebagai perbandingan jelas, hasil jualan THP telah meningkat kepada RM760.8 juta pada 2021 daripada RM493.65 juta pada 2019, selepas kerajaan baharu mengambil alih teraju pentadbiran terutama berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH),” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, pada Selasa.

Beliau bekata demikian ketika menjawab soalan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Pas-Bachok) berkaitan cadangan penjualan ladang seluas lebih 70,000 hektar milik THP dan prestasi semasa ladang tersebut.

Ahmad Marzuk berkata, kerajaan hari ini telah meneliti semula cadangan penjualan ladang milik THP yang dibuat semasa pentadbiran Pakatan Harapan pada Ogos 2019 dan telah membatalkan cadangan yang belum dimuktamadkan.

Selain itu, beliau berkata TH telah merangka Pelan Transformasi Strategik 2022-2024, iaitu pelan tiga tahun yang dinamakan HIJRAH24 bertujuan meneruskan usaha pengukuhan TH selaras dengan mandat penubuhannya untuk menguruskan simpanan umat Islam yang mahu menunaikan ibadah haji.

Pelan itu merangkumi 24 inisiatif strategik termasuk inisiatif sokongan digitalisasi dan komunikasi selain usaha untuk mengukuhkan Akta Tabung Haji 1995 dan menambah baik model operasi serta aspek tadbir urus TH.

“Hasil semakan dan pindaan Akta Tabung Haji 1995 akan dibentangkan di Parlimen dan pelan strategik HIJRAH24 juga akan diumumkan kepada umat Islam khususnya pendeposit TH,” katanya. – MalaysiaGazette