Wan Rosdy Wan Ismail (kiri sekali) bersama Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (tengah) serta Pengerusi TNB, Dattuk Seri Hasan Arifin (kanan sekali) menyaksikan pertukaraan dokumen Perjanjian Skim Hidroelektrik Ulu Jelai antara Sallehuddin Ishak (dua dari kiri) dengan Baharin Din (dua dari kanan) di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kerajaan Negeri Pahang sepakat menjaga kawasan tadahan air Skim Hidroelektrik Ulu Jelai agar operasi stesen janakuasa terbaharu di Cameron Highlands itu tidak terjejas dengan memastikan keseimbangan ekosistem di kawasan berkenaan terpelihara.

Kedua-dua pihak mencapai persetujuan dengan memeterai Perjanjian Skim Hidroelektrik Ulu Jelai yang turut memberi pendapatan kepada Kerajaan Negeri Pahang melalui penggunaan sumber air untuk penjanaan tenaga elektrik.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, terdapat peruntukan khas dalam perjanjian itu yang memastikan kedua-dua pihak menjaga kawasan tadahan dengan baik supaya dapat mengurangkan hakisan dan pemendapan sepanjang skim hidrolektrik ini beroperasi.

”Kewujudan Jawatankuasa Pengurusan Tasik dan Kawasan Tadahan, atau Jawatankuasa Penasihat untuk Stesen Janakuasa Ulu Jelai, hendaklah sentiasa peka dan mengurus serta memulihara kawasan tadahan ini dengan sebaik-baiknya,” katanya berucap di majlis menandatangani perjanjian itu.

MoU ditandangani Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Sallehuddin Ishak dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din.

Skim Hidroelektrik Ulu Jelai, yang berada di Mukim Hulu Telom, adalah antara tiga stesen hidroelektrik terbesar di Cameron Highlands yang dibina di bawah tanah demi mendapatkan tekanan air secukupnya supaya boleh menggerakkan turbin untuk menjana tenaga elektrik.

Hasan berkata, stesen janakuasa yang siap pada 2016 itu direka bentuk supaya mampu memberikan tindak balas pantas kepada sistem grid terhadap perubahan permintaan, khususnya pada waktu beban puncak dengan kawalan frekuensi kapasiti dua unit penjanaannya yang berjumlah 372 Megawatts. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast