TANGKAK – Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak, Muhammad Airel Zabridin mahu terus bekerja keras sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk menambat hati para pengundi baharu.
Airel yang merupakan anak jati di situ menjadi calon termuda iaitu berusia 26 tahun yang ditampilkan oleh Pejuang daripada keseluruhan 42 kerusi ditandingi parti itu.
Beliau bercita-cita mengangkat agenda anak muda ke peringkat lebih tinggi sekiranya dipilih di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak pada 12 Mac ini.
“Misi saya sebagai calon adalah untuk mengangkat martabat anak muda terutama sekali di DUN Tangkak memandangkan diri saya sendiri merupakan calon muda yang bertanding di sini.
“Saya yakin sekiranya kita rajin untuk turun padang dan mendekati mereka (pengundi muda), tidak mustahil kita boleh dapat tarik Undi 18,” katanya kepada pemberita selepas sesi walkabout di Pasar Awam Tangkak di sini hari ini.
Airel bersama Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir meluangkan masa kira-kira 30 minit bertemu pengunjung dan peniaga di pasar tersebut untuk meraih undi serta mengedarkan risalah.
Ketika ditanya mengenai perkembangan kempen yang sudah memasuki hari keenam, Airel memaklumkan beliau menerima respons positif daripada masyarakat setempat yang turut terkejut dengan penampilannya sebagai calon anak muda.
“Saya juga yakin pengundi akan memberi respons yang baik menjelang hari pengundian nanti walaupun perlu bersaing dengan parti utama yang lain,” ujarnya.
DUN Tangkak bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru di antara Pejuang dengan penyandang yang juga calon dari Pakatan Harapan iaitu Ee Chin Li; calon Barisan Nasional, Ong Chee Siang; calon Perikatan Nasional, Dr Chong Fat Full dan seorang calon bebas, Zainal Bahrom A. Kadir.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Chin Li memenangi kerusi DUN Tangkak dengan majoriti undi 5,077 menewaskan calon BN, Goh Tee Tee. – MalaysiaGazette
















