Datuk Seri Dr Hasim Hasan

MELAKA –  Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Dr. Hasim Hasan telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu.

Beliau akan memegang jawatan baharunya selama tiga tahun, yang  berkuat kuasa pada 1 Mac ini hingga 28 Februari 2025.

Menurut kenyataan UTeM, pelantikan Hasim dengan persetujuan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 17(1)(a) Perlembagaan Universiti.

Malah, beliau bergraduat peringkat pengajian tertinggi iaitu Doktor Falsafah dalam bidang Pengajian Strategik dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Mengupas latar belakang kerjaya, beliau mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam pada 1 Januari 1989 sebagai Penolong Pegawai Daerah (Tanah) di Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, Negeri Sembilan.

Kecemerlangan kerjayanya terus memuncak sehingga memegang jawatan Pengarah di Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri pada November 2012.

Beliau kemudian dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Jabatan Ketua Menteri Melaka pada 1 Februari 2019 sebelum bersara secara rasmi pada 29 Julai 2021.

Pembabitan beliau juga sangat sinonim dengan UTeM apabila pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah UTeM sejak April 2019 sehingga Julai 2021 lalu.

UTeM mengucapkan tahniah atas pelantikan ini dan berharap beliau dapat menerajui dan memimpin UTeM ke persada gemilang selaku institusi pengajian tinggi teknikal yang terus cemerlang di pentas dunia.

Di samping itu, UTeM juga mengucapkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mantan Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM Academician, Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali FASc atas jasa dan sumbangan yang telah diberikan kepada UTeM sebelum ini bermula dari Februari 2016 sehingga Februari 2022.- MalaysiaGazette