Kasidi menunjukkan kesan luka yang masih belum pulih akibat kemalangan selepas disondol babi hutan ketika menunggang motosikal di Kampung Separap.

PARIT SULONG – Penduduk beberapa buah kampung di jalan Simpang Lima di sini merayu pihak yang berkuasa bertindak segera menangani masalah ancaman anjing liar, babi hutan dan serangan monyet yang kini semakin “mengganas” di kawasan mereka.

Ini kerana, ancaman haiwan-haiwan liar itu dibimbangi boleh mencederakan orang ramai selain membahayakan penduduk terutama kanak-kanak.

Rata-rata penduduk yang ditemui MalaysiaGazette mengadu, keadaan itu tidak lagi terkawal sehingga kemunculan haiwan yang tidak diundang itu semakin bertambah.

Bekas ketua Kampung Separap, Kasidi Kasani, 60, sendiri pernah berdepan dengan detik cemas apabila dilanggar babi hutan ketika menunggang motosikal hingga cedera.

Katanya, insiden berlaku beberapa bulan lalu dan akibat kemalangan tersebut beliau dimasukkan ke wad selama beberapa hari dan sehingga kini kecederaan yang dialami belum pulih sepenuhnya.

“Ketika saya menjadi ketua kampung sebelum ini sudah ada 18 kes kemalangan penduduk yang diserang babi hutan.

“Jadi, kita minta kerjasama dengan pihak yang berkenaan untuk hapuskan binatang liar ini termasuk agar tidak terus menjadi ancaman kepada kami penduduk di sini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Kasidi Kasani

Menurut Kasidi, masalah yang dihadapi penduduk akibat konflik dengan haiwan itu juga melibatkan tanaman mereka dirosakkan dan ini menjadi rungutan yang perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib.

“Saya minta pihak berkenaan ambil tindakan secepat mungkin kerana masalah yang berlaku ini telah lama,” ujarnya.

Menceritakan detik cemas yang dialami ketika insiden dilangar babi hutan itu, Kasidi berkata, ketika itu beliau menunggang motosikal berseorangan pulang ke rumah di Parit Lintang Tiga.

Ujarnya, seekor babi hutan tiba-tiba muncul dari semak di tepi jalan dan kemudian menyondol motosikal yang ditungganginya.

“Saya terjatuh dari motosikal selepas dilanggar dengan kuat haiwan itu dan tidak sedarkan diri.

“Saya dibantu oleh penduduk yang ternampak kejadian itu dan kemudiannya membawa saya pulang ke rumah. Bagaimanapun, disebabkan keadaan saya agak terus saya di bawa ke Hospital Muar untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.

Ditanya sama ada penduduk pernah bertindak untuk membunuh haiwan-haiwan tersebut, Kasidi berkata, ketua-ketua kampung di kawasan berkenaan pernah mengambil tindakan sendiri untuk menjerat haiwan itu.

Bagaimanapun, mereka mendapat amaran daripada Jabatan Perhilitan agar tidak mengganggu hidupan liar berkenaan dengan beralasan tidak ada permit dikeluarkan untuk memusnahkannya.

Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Ruhanie Ahmad berkata, ancaman haiwan liar di kawasan berkenaan sudah menjadi perkara yang sangat membimbangkan.

Katanya, ketika beliau menjadi wakil rakyat selama 14 tahun di kawasan berkenaan dari tahun 1990 hingga 2004, perkara seumpama itu tidak pernah berlaku.

Ruhanie Ahmad

Ujarnya, ia berlaku selepas satu kawasan rizab hutan berhampiran dijadikan pusat perindustrian hingga menyebabkan habitat haiwan liar itu musnah hingga akhirnya haiwan-haiwan tersebut bertempiaran memasuki kawasan penduduk.

“Binatang-binatang itu telah keluar daripada habitatnya dan ini boleh mengancam keselamatan penduduk. Apabila hutan itu telah dimansuhkan menjadi estet, dan kini menjadi kawasan perindustrian, ia telah menyebabkan kampung-kampung sekeliling mendapat ancaman daripada haiwan-haiwan berkenaan.

“Binatang-bintang itu telah keluar mencari habitat baru hingga memasuki kawasan kampung-kampung dan ia merupakan masalah baharu dialami penduduk di kawasan Simpang Lima, Parit Sulong ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd Naim Bakri, 44, memberitahu, masalah yang berlaku di kampungnya itu kini menjadi satu ancaman  yang semakin serius untuk diatasi segera.

Katanya, bukan sekadar di Separap namun di beberapa kampung lain di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah juga turut mengalami masalah yang sama.

Mohd Naim Bakri

“Insya-Allah,masalah yang dihadapi penduduk di kawasan ini akan cuba diambil tindakan oleh calon Perikatan Nasional (Datuk Ariss Samsudin) jika beliau diangkat menjadi wakil rakyat dan perkara itu akan terkandung dalam manifesto yang akan diumumkan sendiri oleh beliau pada 7 Mac ini.

“Diharap perkara yang dibangkitkan akan dapat diselesai dalam situasi yang harmoni serta secepat mungkin…kita tidak mahu ada lagi kes-kes kemalangan sebagaimana berlaku sebelum ini,” katanya yang juga Pengarah Bilik Gerakan PN, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Sulong. – MalaysiaGazette