Saifuddin Abdullah

JOHOR BAHRU – Perikatan Nasional (PN) tidak risau dengan kehadiran pemimpin besar parti lawan yang datang berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ini kerana PN juga memiliki pemimpin ikonik diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini kempen pilihan raya dan semua orang ada kebebasan untuk berkempen dan masing-masing harus guna kekuatan masing-masing.

“Kami pun dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin masih ada pengikut yang besar di mana-mana pun orang panggil beliau abah, kami pun tidak kurang dengan pemimpin yang ikonik. Pandai-pandailah masing-masing guna kekuatan masing-masing,” katanya yang juga Menteri Luar.

Beliau ditanya kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang akan turun berkempen di PRN Johor hari ini.

Sebelum itu, Saifuddin mengadakan mesyuarat bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Menara MBJB di sini hari ini.

MalaysiaGazette melaporkan, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang akan turun berkempen di Machap sempena PRN Johor petang ini.

Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Muhkriz Mahathir berkata, bapanya beria-ria mahu turun padang bagi menyumbanng kepada partinya.

Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi itu dijadualkan turun ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap petang ini untuk siri kempen di kerusi yang ditandingi Ketua Pejuang Johor, Shahruddin Md Salleh. – MalaysiaGazette