Najib Razak

KUALA LUMPUR – Biarpun rizab-rizab milik Petronas, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijarah namun hutang negara terus melonjak sebanyak RM320 bilion.

Hutang itu merupakan kenaikan lebih 46% sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kepada RM1.03 trilion pada hari ini.

Datuk Seri Najib Razak berkata, kedudukan ini menunjukkan nilai-nilai rizab dan tabung simpanan kerajaan ketika ini sudah jauh lebih rendah berbanding sebelum PRU14.

Sedangkan, katanya, sepanjang tempoh KWAP ditubuhkan dan beroperasi, satu sen pun tidak pernah diambil oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) daripada tabung ini.

Hakikatnya, nilai aset tabung KWAP naik dari RM55 bilion pada tahun 2008 ke RM140 bilion pada akhir tahun 2017.

”Malangnya bermula tahun 2018 yang mana RM4.5 bilion dikeluarkan oleh Kerajaan PH, sebanyak RM19.5 bilion telah dikeluarkan dari KWAP setakat ini berbanding dengan sifar yakni kita tidak pernah sentuh sama sekali pada zaman BN, sebaliknya bertambah peruntukannya setiap tahun.

”Begitu juga dengan tabung KWAN di mana nilai tabung naik dari RM4 bilion pada tahun 2008 ke RM17 bilion pada akhir tahun 2017, sebanyak RM15 bilion juga telah dikorek keluar oleh kerajaan PN berbanding sifar sepanjang tempoh saya PM,” kata bekas perdana menteri itu.

Malah, nilai aset Khazanah Nasional yang naik berganda dari RM33 bilion ke RM116 bilion dalam tempoh 9 tahun sebelum PRU14 juga telah menurun kepada RM79 bilion pada akhir tahun 2020 setelah aset bernilai berpuluh bilion ringgit yang sepatutnya memberi pulangan yang baik telah dijual oleh Kerajaan PH. – MalaysiaGazette