Calon Perikatan Nasional (PN) N37 Johor Lama, Mohamad Alias Rasman ketika ditemubual khas bersama Malaysia Gazette sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional Kota Tinggi, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 MAC 2022.

KOTA TINGGI – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama, Mohamad Alias Rasman menawarkan perkhidmatan klinik guaman percuma kepada penduduk.

Ketua Penerangan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga merupakan anak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili itu berkata, khidmat guaman yang ditawarkannya meliputi aspek ekonomi, pendidikan dan sosial kepada penduduk.

“Dari sudut golongan Felda khasnya, saya dapat lihat isu-isu di Felda kebanyakan berkaitan dengan soal perwarisan dan dapat dilihat sebenarnya wujud kepincangan dari segi lot-lot tanah generasi kedua.

“Walaupun mempunyai bidang kuasa yang terhad kerana melibatkan urusan dari pejabat pihak felda, saya tetap akan menyusun langkah untuk mengetengahkan isu-isu dari segi pengurusan lot-lot tanah ini,” jelasnya ketika ditemui hari ini.

Menurut Alias, apabila generasi pertama meninggal, generasi kedua mengikut undang-undang Felda hanya membenarkan dua penama sahaja di dalam geran.

“Undang-undang tersebut mungkin boleh digubal semula pada masa akan datang jika saya terpilih,” ujarnya.

Selain itu, beliau juga akan berusaha menaikkan ekonomi setempat terutama di Bandar Kota Tinggi selain membantu mempromosi tempat bersejarah dan produk pelancongan.

“Saya perasan kita mempunyai begitu banyak tempat-tempat bersejarah dan ingin menjadikan sejarah Kota Tinggi ini sebagai produk pelancongan. Di Johor Lama, contohnya di Teluk Sengat, ada pantai, laut, rumah rakit mungkin dari segi itu boleh menaikkan taraf pelancongan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast