Calon BN DUN Layang-Layang, Datuk Ab Mutalip Abd Rahim.

SIMPANG RENGGAM – Pengundi DUN Layang-Layang sudah celik dan tidak mahu lagi tertipu serta tidak akan sesekali termakan dengan apa juga janji yang ditaburkan oleh mana-mana parti lawan, selain Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Walaupun dengan hati terbuka pengundi menerima maaf yang dimohon oleh bekas Menteri Pendidikan yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN ini, Maszlee Malik, namun pada masa sama tidak akan sesekali mengundi parti lawan lagi.

Perkara itu didedahkan oleh Datuk Ab Mutalip Abd Rahim yang juga calon DUN Layang-Layang kepada MalaysiaGazette hari ini.

“Kita terima maaf dia (Maszlee) tetapi jika maaf itu semata-mata untuk memberikan janji yang baharu pada PRN ini, maaflah.

“Saya juga ingin minta maaf kepadanya. Sorry, pengundi N27 Layang-Layang  tidak akan undi Maszlee,” katanya ketika ditemui di Renggam petang tadi.

Sambung Ab Mutalip yang juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Layang-Layang pada PRU-13, permohonan maaf itu sepatutnya datang dari Maszlee lebih awal lagi bukan ketika musim pilihan raya.

“Sebagai manusia apabila sudah melakukan salah, wajib mohon maaf. Tetapi adakah dengan minta maaf kerana tidak tunai janji yangdiharapkan oleh pengundi boleh diselesaikan dengan perkataan ‘maaf’ sahaja?

“Jangan fikir dengan meminta maaf anda boleh terus berjanji lagi. Jika itulah sebabnya, pengundi N27 Layang-Layang tidak akan termakan dengan janji baharu pada PRN ini,” ujarnya.

Semalam ketika ceramah umum bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Maszlee memohon maaf sambil menunduk kepala kepada para pengundi kerana gagal menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Maszlee juga mengakui kesilapan lalu dan mahu pengundi memaafkannya serta pemimpin PH yang lain.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu memberi alasan masa yang begitu terhad menyebabkan ada janji-janji tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan PH ketika itu.

“Kami juga manusia biasa, kita mohon maaf kepada tuan-tuan dan puan-puan. Maafkan saya dan kami,” katanya sambil menundukkan kepalanya di hadapan para hadirin yang mengikuti ceramahnya malam ini.

Menurut Maszlee, sepanjang pentadbiran PH selama hampir 22 bulan terdapat salah dan silap yang dilakukan ketika itu, namun seandainya diberikan mandat selepas ini janji-janji itu akan dilaksanakan. -MalaysiaGazette

Maszlee minta maaf akui PH gagal tunai janji manifesto PRU14

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast