Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon bersama calon Barisan Nasional N.42 Johor Jaya, Chan San San beramah mesra bersama penduduk bagi meraih undi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Taman Plentong Baru, Masai, Johor.

JOHOR JAYA – Bukan sekadar mendengar aduan dan keluhan rakyat tapi dalam masa yang sama kena segera menyelesaikan isu penduduk tanpa berlengah.

Itu prinsip calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya, Chan San San yang berpengalaman berkhidmat sebagai Ketua Kampung Baru Plentong di Masai sebelum ini.

Justeru dengan pengalaman yang ada tidak menjadikannya kekok menyantuni dan menyelesaikan isu-isu penduduk setempat.

“Ini rutin kerja saya setiap hari sampai saya terima banyak aduan daripada orang awam dan cuba selesaikan walau dalam waktu berkempen,” jelasnya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Zon Johor Jaya memulakan kempen hari ini dengan membantu seorang pesakit mental yang tinggal sementara di sebuah pondok di Jalan Kemboja 2, Masai.

Calon Barisan Nasional N.42 Johor Jaya, Chan San San mengatavkan sesuatu kepada pesakit mental yang tiada tempat tinggal semasa sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Taman Plentong Baru, Masai, Johor

“Dia sudah berada di pondok ini beberapa bulan. Selepas ini saya akan bawa dia jumpa doktor untuk mendapatkan rawatan, kemudian akan mencari penempatan lain untuknya.

“Kita tak kira pengundi atau tidak. Siapa yang memerlukan bantuan, kita akan bantu,” jawabnya apabila ditanya jika individu yang dibantu itu merupakan seorang pengundi di kawasannya bertanding.

San San yang merupakan anak jati Kampung Baru Plentong menjelaskan tujuan bertanding sebagai wakil rakyat adalah untuk  mendekati dan membantu lebih ramai penduduk.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya  menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara penyandang kerusi itu pada PRU-14, Liow Cai Tung dari Pakatan Harapan (DAP), San San (BN-MCA), Datuk Dr Ker Ching Sheng (PN-Gerakan) dan Chen Hain Kai dari Warisan pada 12 Mac ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast