Pengerusi Barisan Nasional merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid bersalaman dengan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada Himpunan Penyatuan Ummah Muafakat Nasional sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Kampung Sawah, Pekan Nanas, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 14 NOVEMBER 2019.

MUAR – ‘Walaupun tidak nampak hidup, tapi dia (Muafakat Nasional) tidak mati’.

Itu penjelasan pemimpin kedua tertinggi Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai status sebenar Muafakat Nasional (MN) yang dibina bersama-sama UMNO pada 2019.

Menurut Timbalan Presiden Pas itu, kedudukan MN tergantung apabila tiada parti yang menarik diri daripada kesatuan itu membuatkan gabungan itu tidak dikuburkan.

“Secara prinsip walau tak nampak hidup dia (Muafakat Nasional) tak mati, status sebagaimana ada dia ada tiada satu parti isytihar tarik diri atau bubar.

“Tak masuk ICU lagi sebab kita dalam Kabinet bersama dalam mesyuarat Kabinet UMNO dokong kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) buat kerja untuk rakyat tak kira parti.

“Dalam konteks ini perhubungan baik kita turun berkempen memperkasakan agenda parti masing-masing,” katanya kepada media selepas ceramah berkelompok di di Simpang Jeram.

Program itu turut dihadiri Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata status MN akan diketahui selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan.

“Selepas PRN Johor kita akan tengok dan akan buat penilaian semula,” jelas Tuan Ibrahim lagi.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga berkata, mesyuarat Pas dan UMNO di peringkat jawatankuasa induk MN sudah lama tidak berlangsung.

Bagi beliau, Pas akan terus mendokong persepakatan dalam MN demi penyatuan orang Melayu.

“Sebenanrya tengok (keadaan) kalau ibarat di luar negara pokok musim sejuk macam mati namun bila musim bunga dia hidup semula, harapan kita di Pas dan Bersatu kita melihat penyatuan ummah kita dokong.

“Bila dia tulis surat setuju terima tapi tiada jawapan tak mengapa Pas akan terus dokongan PN. MN tak bincang tutup fail dulu sementara hadapi pilihan raya bersama kekuatan PN.

“Kita tak toleh kebelakang, kita ke depan dan ini yang berlaku dan PRU15 PN akan kita kukuhkan hadapi sesiapa sahaja akan datang,” jelas Tuan Ibrahim lagi.

Isnin lalu, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menganggap Muafakat Nasional (MN) yang digagaskan oleh UMNO dan Pas kini sudah tiada.

Beliau yang merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan, perkara itu tidak perlu diselindung lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.