KUALA LUMPUR – Legenda bola sepak Belanda, Clarence Seedorf mengumumkanĀ dia sudah memeluk Islam.
Bekas pemain AC Milan, Real Madrid dan Ajax itu membuat pengumuman menerusi akaun Instagram miliknya.
“Uucapan terima kasih yang teristimewa atas mesej indah untuk meraikan saya memeluk Islam.
“Saya sangat gembira dan bersyukur untuk menyertai saudara baharu saya khususnya isteri saya, Sophia (Makramati) yang mengajar saya mengenai erti Islam dengan sangat mendalam.
“Saya tidak menukar nama saya dan akan terus menggunakan nama yang diberikan oleh ibu bapa saya, Clarence Seedorf,” tulisnya yang berusia 45 tahun.
Sebagai rekod, Seedorf muncul satu satunya pemain yang memenangi Liga Juara -Juara sebanyak tiga kali bersama tiga pasukan berbeza.
Isterinya, Sophia turut menulis menerusi Instagram bahawa dia sangat gembira dan berbangga menjadi sebahagian daripada detik indah untuk orang yang disayanginya memeluk Islam.’
“Selamat datang dan semoga kamu akan terus dirahmati dan memberi inspirasi kepada seluruh dunia,” tulisnya.
Sementara itu, sepanjang kariernya sebagai pemain, Seedorf sempat beraksi bersama dengan kelab kelab ternama seperti Ajax, Real Madrid, Inter Milan dan AC Milan.
Dia memiliki karier yang sangat luar biasa di mana bekas pemain antarabangsa Belanda itu menjuarai Liga Juara-Juara (UCL) bersama dengan tiga kelab berbeza iaitu Ajax pada 1995, Real Madrid pada 1998 dan juga AC Milan pada 2003 dan 2007.
Seedorf juga adalah anggota penting dalam skuad generasi emas Milan di bawah Ancelotti.
Selain daripada kejuaraan UCL, dia turut membantu Milan memenagi dua kejuaraan Scudetto.
Merupakan pemain yang dikenali dengan gaya permainan lasak dan lincah di tengah padang, Seedorf dianggap sebagai salah seorang pemain tengah terbaik pada generasinya. – MalaysiaGazette
https://www.middleeasteye.net/news/former-dutch-football-star-clarence-seedorf-converts-islam