Calon Perikatan Nasional (PN) N.07 Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal bercakap kepada media selepas sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di sekitar bandar Grisek, Pagoh, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 MAC 2022.

PAGOH – Tindakan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Mersing, Laili Yusof yang keluar parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak memberi kesan kepada parti tersebut.

Setiausaha PPBM Johor, Dr Sahruddin Jamal yakin pengundi di negeri ini bijak menilai dan mengetahui rapat siapa dalang di sebalik tindakan Pengarah Pilihanr Raya Bersatu Endau itu.

“Kita jangan terlalu fokus kepada isu itu kerana ia isu terpencil. Sekarang ini paling penting adalah PRN Johor.

”Setakat ini tidak beri kesan dan kita tahu siapa yang di belakang isu itu. Masyarakat boleh tengok di kiri kanannya,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sahruddin menambah, beliau kena bekerja keras untuk memastikan PN menang dan perlu mewar-warkan manifesto dan ikrar parti supaya masyarakat dapat menilai dan tahu PN sebetulnya pilihan terbaik.

Semalam, Laili mengumumkan menyertai UMNO selepas hilang kepercayaan terhadap Bersatu, selain mendakwa parti itu tiada hala tuju.

Laili berkata, keputusan itu diambil setelah mengambil kira perkara sewajarnya dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak. – MalaysiaGazette