Calon PKR N09 Gambir, Naim Jusri

MUAR – Rakyat negeri Johor akan mempertahankan perubahan yang dilakukan oleh mereka ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Naim Jusri berkata, pilihan yang telah dibuat oleh rakyat pada PRU14 yang lalu telah menjadi tunjang keyakinan buat Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, landskap pada pilihan raya terdahulu juga berjaya mengubah sikap dan pemikiran rakyat.

“Kita lihat di Gambir ini mempunyai komposisi kaum majmuk terdiri daripada 60 peratus kaum Melayu diikuti 37 peratus kaum Cina dan tiga peratus lagi merupakan kaum India.

“Saya lihat penerimaan rakyat terhadap PKR dan PH lebih terbuka sekarang kerana kawasan ini pun demografi masyarakatnya boleh dikatakan pekan bandar, jadi kebijaksanaan penduduk Gambir menjadi taruhan dalam memilih pemimpin yang ikhlas, benar-benar melakukan kerja serta setia kepada perjuangan,” katanya kepada pemberita selepas sidang media bersama calon PKR zon utara di Parit Jawa di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai tahap keyakinan untuk merampas kerusi DUN Gambir dari bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naim positif pengundi di kawasan berkenaan akan terus berpegang kepada aspirasi yang dibawa oleh PH pada PRU14.

Tambah Setiausaha PKR Negeri Johor itu, beliau juga menerima sokongan yang tidak berbelah bahagi dari jentera parti sepanjang kempen PRN Johor.

“Dari sudut semangat berpasukan, sokongan yang diterima memang solid untuk membantu saya dan parti menang di kerusi DUN Gambir selain cabang Ledang ini tidak ada perpecahan.

“Rakyat sudah pun menilai (PRU14) dengan memberikan kemenangan kepada PH, itu sebenarnya menjadi tunjang dan kita yakin rakyat akan mengundi berdasarkan aspirasi pada PRU14 di mana mereka kekal mempertahankan perubahan yang dilakukan sebelum ini,” ujarnya.

Pada PRU14, Naim merupakan calon di kerusi DUN Sungai Balang namun tewas di tangan Barisan Nasional (Zaiton Ismail) dengan majoriti 174 undi.

Pada 12 Mac ini, DUN Gambir akan menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara Naim dengan calon Parti Pejuang Tanah Air, Suraya Sulaiman; calon Perikatan Nasional, Mohd Solihan Badri dan calon BN, Sahrihan Jani.

Mengulas mengenai pencalonannya di DUN Gambir, Naim berkata, ia merupakan keputusan yang dimuktamadkan di peringkat pusat, negeri dan juga cabang.

“Perancangan kita dari awal adalah saya akan bertanding di Parlimen Muar dan Abdullah Sahid (calon) sebagai penyelaras akan bertanding di DUN Sungai Balang.

“Bila berlaku PRN, kita tidak tukar dan terus kekalkan Abdullah sebagai calon dan saya sebenarnya tidak perlu bertanding kerana kita menunggu PRU15, namun dalam rundingan kita mempunyai pertambahan dari 12 kerusi (PRU14) kita tambah lapan antaranya di Larkin, Kempas dan Gambir.

“Gambir ini kerusi yang belum pernah kita tandingi sebelum ini untuk PKR, jadi akhirnya selepas keputusan dibuat, saya masuk ke DUN Gambir,” ujarnya. – MalaysiaGazette