murder case debt loan Bidor oil palm estate Perak Police Chief, Datuk Mior Faridalathrash Wahid students die of Covid-19 vaccine SMK Tasek Damai
Mior Faridalathrash Wahid.

IPOH – Polis sedang menyiasat kejadian orang ramai berkumpul beramai-ramai dipercayai bagi menyertai satu konsert di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya di sini, yang tular menerusi rakaman video hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian yang tular di media sosial melalui Facebook Viral Perak dengan memetik sumber daripada pemilik akaun TikTok @acik_kesepian dan mendapat perhatian masyarakat umum.

“Siasatan awal mendapati penganjur acara itu tidak memohon kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak dan polis daerah Ipoh.

“Pihak penganjur dan pengunjung juga didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal serta sebahagian pengunjung tidak memakai pelitup muka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis kini sedang mengesan pemilik akaun TikTok berkenaan dan individu yang terlibat dalam kejadian itu bagi membantu siasatan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kanan ASP Fadli Ahmad di talian 019-2500019 dan kes disiasat di bawah Seksyen 22(B) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Selain video berdurasi 27 saat itu, pemilik akaun TikTok tersebut turut memuat naik beberapa video lain menunjukkan orang ramai menari sambil menyanyi di kawasan lapang itu tanpa penjarakan fizikal pada waktu malam. – Bernama