Penunggang motosikal melintasi bendera parti-parti politik yang bertanding sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Larkin, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 28 FEBRUARI 2022.

GABUNGAN utama parti-parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menggunakan istilah yang berbeza terhadap manifesto yang dibentangkan kepada rakyat di negeri ini.

Barisan Nasional (BN) menggunakan ikhtiar, Pakatan Harapan (PH) menampilkan tawaran manakala Perikatan Nasional (PN) pula  meletakkan ikrar.

Sebenarnya, tidak kiralah ikhtiar, tawaran atau ikrar apa yang dipaparkan kepada pengundi Johor tetap satu bentuk janji.

Cumanya bagi mengelak dituduh tidak menunaikkan janji seperti yang berlaku kepada PH selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 maka semua parti mengelak menggunakan perkataan magis ‘manifesto’.

Pengarah Pilihan Raya Negeri Johor, Datuk Seri Mohamad Hasan (empat kiri) bersama Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad (tiga kanan) serta yang lain bergambar sambil menunjukkan Ikhtiar BN Johor sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di di Dewan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 01 MAC 2022.

Apa yang dijanjikan?

Manifesto BN yang merupakan gabungan UMNO, MCA dan MIC dikenali sebagai Ikhtiar BN Johor untuk Kestabilan.

Mengandungi satu matlamat utama dan lima ikhtiar. Buku manifesto parti ini setebal 40 muka surat.

Manakala PN yang dianggotai Bersatu, Pas dan Gerakan pula menampilkan Ikrar Perikatan Nasional Untuk Bangsa Johor.

Manifesto parti ini mempunyai lapan tunjang utama, berpacukan 24 strategi dan berlandaskan 145 pendekatan. Parti ini mempunyai buku manifesto paling tebal iaitu 61 muka surat.

Sementara PH iaitu gabungan kerjasama DAP, Amanah, PKR dan MUDA pula menjenamakan manifesto mereka dengan ‘Tawaran Pakatan Harapan Untuk Rakyat Johor’.

Buku manifesto PH paling nipis iaitu hanya 23 muka surat dan hanya mempunyai tiga teras tawaran.

Artikel ini hanya akan menyentuh janji-janji penting yang perlu diingat oleh pengundi untuk dituntut jika parti terbabit menang.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) diiringi Timbalan Pengerusi PN, Senator Dominic Lau (kiri) melancarkan buku Perikatan Nasional “Demi Bangsa Johor” sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Hotel Trove, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 02 MAC 2022.

Bantuan wang tunai

Siapa yang tak suka bantuan wang tunai?  Kalau tidak takkanlah Bantuan Rakyat 1Malaysia diperkenalkan BN diteruskan oleh PH dengan nama Bantuan Sara Hidup.

Dalam manifesto BN, PN dan PH masih ada bantuan tunai untuk rakyat.

BN menjanjikan bantuan kewangan tahunan RM150 kepada setiap pelajar sekolah rendah dan menengah daripada keluarga berpendapatan RM3,001 hingga RM7,000.

Parti itu juga akan menaikkan nilai bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada RM500 secara berperingkat.

BN juga menawarkan kewangan tahunan kepada orang muda Johor (OMJ) iaitu RM1,000 kepada semua OMJ yang pertama kali berkahwin dengan pendapatan RM5,000 ke bawah.

Selain itu Mahasiswa Johor dari keluarga B40 juga ditawarkan bantuan tunai berjumlah RM500.

Manakala parti PN dan PH juga menjanjikan wang tunai kepada namun ada yang tidak menyatakan secara terperinci jumlah yang akan diberikan kepada rakyat.

Jentera MUDA, Shazarina Joane menunjukkan buku Tawaran Pakatan Harapan pada majlis pengumuman tawaran tersebut sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Hotel Landmark, Batu Pahat, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 04 MAC 2022.

Manifesto PN hanya menyebut ‘menyediakan komputer riba dan bantuan tunai kepada anak muda Johor daripada keluarga kurang berkemampuan yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA’ dan ‘menyediakan bantuan baucar tunai kepada belia daripada keluarga kurang berkemampuan untuk mendapatkan lesen motorsikal’.

Turut dinyatakan ‘menyediakan komputer riba dan bantuan tunai kepada anak orang asli yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA’.

Selain itu, PN juga menyediakan dana khas untuk pasangan belia Johor yang baru berkahwin.

Parti itu juga akan memberikan bantuan baucar tunai kepada belia daripada keluarga kurang berkemampuan untuk mendapatkan lesen motorsikal

PN hanya menyebut jumlah yang jelas untuk bantuan kepada setiap anak kelahiran Johor daripada keluarga berpendapatan rendah iaitu RM150.

PH pula menjanjikan bantuan tunai kepada pelajar tahun satu institut pengajian tinggi melalui Insentif Siswa Harapan berjumlah antara RM100 hingga RM1,000.

Parti itu juga menjanjikan bayaran muka sebanyak 10 peratus untuk pembelian motosikal kepada B40 yang terpilih di setiap daerah bagi kegunaan bekerja.

Selain itu PH turut menjanjikan pemberian baucar tuisyen kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang tercicir.

Sebenarnya banyak lagi bantuan yang tidak berbentuk tunai dijanjikan oleh parti-parti politik terbabit antaranya melalui kad kesihatan dan takaful.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan (tengah) bergambar bersama calon yang bertanding pada Majlis Pengumuman Tawaran Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Hotel Landmark, Batu Pahat, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 04 MAC 2022.

Reformasi politik

Hanya BN secara jelas menyebut akan memberikan bantuan tunai berjumlah RM200,000 kepada setiap wakil rakyat tanpa mengira parti.

Peruntukan itu bagi kegunaan rakyat di kawasan masing-masing.

PH yang memulakan tradisi dengan memberi bantuan kepada setiap ADUN, hanya menyatakan ‘pemberian peruntukan kepada pihak kerajaan dan pembangkang secara seimbang dan wajar’ tanpa menyatakan jumlah yang akan diberikan.

PN tidak langsung menyebut pemberian peruntukan kepada wakil rakyat dalam manifestonya.

Sementara itu hanya dua parti sahaja iaitu BN dan PH secara jelas mahu mewujudkan ‘Enakmen Anti-Lompat Parti’.

Enekman ini bagi menghalang wakil rakyat yang dipilih menjadi katak dan melompat ke parti lain selepas menang pilihan raya.

PN tidak langsung menyentuh enakman tersebut. Bagaimanapun PN mengariskan dengan jelas dalam manifestonya untuk mewujudkan kepimpinan yang berintegriti dan menolak rasuah.

‘Enakmen Anti-Lompat Parti’  sangat penting dalam memelihara kestabilan politik sekaligus memujudkan ketenteraman dalam negara tanpa terlalu banyak isu melibatkan parti dan orang politik sehingga kebajikan rakyat terabai.

Pengarah Pilihan Raya Negeri Johor, Datuk Seri Mohamad Hasan (kanan) bersama Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad menunjukkan Ikhtiar BN Johor sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di di Dewan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 01 MAC 2022.

.Janji-janji lain

PN berjanji memberikan pengecualian sepenuhnya bayaran lessen perniagaan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)  di seluruh negeri Johor untuk tempoh lima tahun.

Parti ini juga akan memperkenalkan skim air percuma sebanyak 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah.

Mereka turut berjanji memberikan pengecualian sepenuhnya bayaran sewa tapak perniagaan milik PBT bagi penjaja yang berdaftar di seluruh negeri Johor untuk tempoh lima tahun.

Jentera, Aliah Sakinah Bani Amin menunjukkan buku Perikatan Nasional “Demi Bangsa Johor” selepas pelancarannya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Hotel Trove, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 02 MAC 2022.

 Akhirnya rakyatlah yang akan memilih

Seperti permulaan artikel ini yang mengingatkan rakyat mengenai mengapa parti politik tidak lagi mahu menggunakan perkataan manifesto, mereka juga diingatkan bahawa adalah terlalu mudah untuk parti politik menulis janji yang indah-indah untuk rakyat.

Pilihlah parti dengan manifesto yang paling logik dan realistik yang boleh dilaksanakan.Pilihlah parti yang boleh memimpin, parti yang boleh memberikan kestabilan.

Elak memilih parti yang 24 jam sibuk mencari kesalahan parti dan pemimpin lain sehingga akhirnya kepentingan rakyat terabai.-MalaysiaGazette