Calon Barisan Nasional (BN) N.13 Simpang Jeram, Datuk Lokman Md Don (tengah) menyantuni pengundi wanita ketika mengadakan pertemuan santai bersama mereka bagi meraih undi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Kampung Jeram Tepi, Bakri, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 07 MAC 2022.

MUAR – Penduduk di kawasan Simpang Jeram memerlukan seorang wakil rakyat anak tempatan bagi memastikan setiap permasalahan mendapat perhatian sepenuhnya.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Md Don berkata, penduduk akan menerima lebih banyak manfaat sekiranya wakil rakyat dipilih merupakan anak jati yang mahir selok-belok di kawasan tersebut.

Calon Barisan Nasional (BN) N.13 Simpang Jeram, Datuk Lokman Md Don. Foto HAZROL ZAINAL, 07 MAC 2022.

“Saya pun dah lama dalam politik dan kita bertanding pun bukan suka-suka. Saya beranggapan untuk jadi wakil rakyat di suatu kawasan perlu ada satu kelebihan iaitu calon anak tempatan supaya dapat lebih menjiwai masalah rakyat.

“Misalnya di sini kalau ada orang maklumkan kepada saya ada masalah di Parit Kancil, saya tahu di mana letaknya Parit Kancil, tidak perlu tanya daripada penduduk kerana saya memang berasal dari sini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas menyantuni pengundi wanita di Kampung Jeram Tepi, Bakri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Lokman turut mendedahkan dia tidak berasa gentar untuk berdepan dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga merupakan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Jelas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bakri itu, beliau lebih memilih untuk mendekati setiap pengundi di kawasan Simpang Jeram berbanding memikirkan tentang pihak lawan.

“Saya langsung tidak gentar kerana saya bukan berlawan dengan dia (Salahuddin) tetapi saya perlu berhadapan dengan ramai pengundi.

“Saya tidak lawan sesiapa tapi saya menawarkan diri untuk mewakili Simpang Jeram dan suara penduduk di sini kerana hidup mati saya di sini,” ujarnya yang sudah terjun ke dalam bidang politik sejak tahun 1985.

Lokman berkata, sebagai calon muka baharu, beliau juga tidak sesekali menjanjikan bulan dan bintang kepada para pengundi di DUN Simpang Jeram.

“Apa yang diperlukan oleh rakyat adalah sebuah kerajaan yang stabil untuk memulihkan ekonomi kerana kerajaan yang stabil dapat menarik pelabur asing dan peluang juga menjadi lebih cerah.

“Kita tidak menjanjikan sesuatu yang popular seperti harga minyak turun atau tol percuma tapi kita ada dasar kita sendiri,” katanya.

DUN Simpang Jeram menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara Lokman dengan Salahuddin serta calon dari Parti Pejuang Tanah Air, Mahaizal Mahmor dan calon Perikatan Nasional, Zarul Salleh. – MalaysiaGazette