Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Foto HAZROL ZAINAL, 03 MEI 2021.

BATU PAHAT – Pakatan Harapan (PH) secara konsistem tidak mahu meniru strategi politik Barisan Nasional (BN) yang ‘menjual’ poster boy bagi calon menteri besar Johor.

Sebaliknya Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution berkata, gabungan itu terus berkempen dengan menawarkan calon yang efektif berkhidmat rakyat.

Beliau mengakui pengalaman kecundang di beberapa siri pilihan raya negeri (PRN) terutamanya di Melaka dan Sarawak membuatkan parti itu belajar daripada kesilapan.

“PKR bertanding 20 kerusi bersama dengan rakan sekutu kami meletakkan 56 kerusi dan tujuan masuk pilihan raya adalah untuk menubuhkan kerajaan bermaksud kerajaan itu akan dipimpin oleh seorang Menteri Besar.

“Buat masa ini, fokus kami ialah menawarkan calon – calon terbaik kami kepada rakyat dan setelah itu apabila rakyat memberikan mandat dan keyakinan baru kita pilih menteri besar.

“Biar dasar lawan dasar, bukan calon lawan calon bukan soal meletakkan seorang calon menteri besar untuk dibandingkan dengan calon menteri besar.

“Ia mesti polisi lawan polisi, khidmat lawan khidmat. Fokus bela rakyat. Parti yang bertanding itu biar rakyat Johor menilai dari aspek itu,” katanya pada sidang media memperkenalkan calon-calon PKR bagi Zon Utara hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, pihaknya mengelak untuk berbicara mengenai calon menteri besar dan fokus kepada khidmat masyarakat di Johor.

Jelasnya, bagi PH, mengumumkan calon menteri besar bukan satu keutamaan.

“Bercakap soal menteri besar hari-hari di PRN Johor, menteri besar, menteri besar. Khidmat kepada rakyat siapa nak nilai? Jadi ini pendekatan yang kami ambil sekarang.

“Saya tidak sebut faktor wow atau tidak. Saya kata keutamaan sekarang ialah memberikan pengenalan yang efektif kepada rakyat tentang calon yang kami tawarkan kepada rakyat itu keutamaan kami. Faktor wow atau tidak itu wisdom kepada rakyat Johor.

“Jadi buat masa sekarang jalur kempen kami tidak terkalih hanya kerana BN telah menampilkan calonnya sebagai poster boy,” katanya lagi. – MalaysiaGazette