Pengerusi Keadilan Johor, Syed Ibrahim Syed Noh bercakap kepada media selepas Program Ceramah Kelompok sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bukit Gambir, Tangkak, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 02 MAC 2022.

BATU PAHAT – Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh tersasul menyebut Dr Maszlee Malik sebagai calon menteri besar Johor bagi Pakatan Harapan (PH).

Di antara sengaja atau tidak, Syed Ibrahim jelas mengatakan Maszlee adalah calon menteri besar bagi gabungan itu sekiranya PH memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

“Terima kasih Dr Maszlee Malik calon bagi menteri besar, eh bukan menteri besar (tapi) calon bagi DUN Layang-Layang,” katanya dalam sidang media bersama Setiausaha PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan empat lagi calon parti itu di sini hari ini.

Kenyataan itu disambut ketawa oleh Maszlee yang merupakan calon PKR bagi kerusi DUN Layang-layang.

Ketika itu, Maszlee baru selesai sesi pengenalan calon parti itu di zon utara sempena PRN Johor hari ini.

Sehingga hari ini, kepimpinan PH masih ‘mengunci mulut’ mengenai calon mutlak gabungan itu dan tidak seperti Barisan Nasional (BN) yang memuktamadkan bekas menteri besarnya, Datuk Seri Hasni Mohammad.

Langkah itu turut diikuti Perikatan Nasional (PN) yang juga belum memuktamadkan calon menteri besar mereka sehingga kini. – MalaysiaGazette