new record Covid-19 booster dose daily cases
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kes baharu jangkitan Covid-19 menunjukkan penurunan dua hari berturut-turut dengan rekod dilaporkan semalam sebanyak 26,865 kes.

Ia menjadikan kes kumulatif kini 3,649,463.

Kes baharu dua hari lalu ialah 27,435 berbanding melebihi 33,000 dalam tempoh tiga hari sebelum itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, laporan Kementerian Kesihatan (KKM) semalam menunjukkan 30,726 kes sembuh telah direkodkan dengan kumulatif sehingga kini 3,311,854 kes.

Bagi kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 368 kes iaitu 153 kes disahkan Covid-19, 215 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan, manakala kes memerlukan bantuan pernafasan ialah 223 kes iaitu 81 kes disahkan Covid-19, 142 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Perincian kategori bagi kes baharu semalam ialah kategori 1 sebanyak 10,160 kes, kategori 2 (16,508 kes), kategori 3 (81 kes), kategori 4 (57 kes) dan kategori 5 (50 kes).

“Daripada 188 kes Covid-19, kategori 3, 4, dan 5 yang baharu dilaporkan semalam juga menunjukkan 63 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 80 kes telah menerima dua dos vaksin, tetapi belum menerima dos penggalak.

“Sebanyak 45 kes telah menerima dos penggalak, 103 kes berumur 60 tahun dan ke atas, 83 kes mempunyai komorbid dan tiga kes adalah ibu mengandung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai kluster Covid-19, Dr. Noor Hisham berkata, jumlah kluster ialah sebanyak 6,849 kluster, kluster baharu (lapan), kluster yang telah tamat sebanyak 6,404 kluster dan kluster aktif 445 kluster. – MalaysiaGazette