Muhyiddin Yassin Covid-19 positive
Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto AFFAN FAUZI, 08 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Pembukaan semula sempadan negara pada 1 April ini merupakan langkah positif dalam proses pemulihan negara, khususnya bagi sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri ismail Sabri Yaakob selari dengan syor yang telah dibuat  majlis tersebut pada Februari lalu.

“Alhamdullilah, saya selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara menyambut baik pengumuman YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) mengenai pembukaan semula sepenuhnya sempadan negara berkuatkuasa 1 April 2022.

“Keputusan ini dibuat selari dengan syor Majlis Pemulihan Negara pada 8 Februari 2022 untuk pembukaan semula sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan melakukan yang tepat untuk pemulihan ekonomi negara, khususnya memastikan unjuran berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun ini.

Jelas Muhyiddin, penutupan pintu sempadan untuk tempoh yang lama hanya akan menjejaskan posisi dan kebolehan daya saing negara di peringkat perdagangan antarabangsa.

“Malaysia memainkan peranan penting dalam rangkaian bekalan dunia (global supply chain) dan penutupan pintu sempadan yang berpanjangan semestinya akan menjejaskan posisi dan kebolehan daya saing Malaysia di peringkat perdagangan,” tambah beliau.

Bagaimanapun, mantan Perdana Menteri itu berharap agar Prosedur Operasi Standard (SOP) melibatkan pintu sempadan negara tidak akan membebankan, sebaliknya memudahkan dan senang difahami rakyat.

Muhyiddin juga berharap supaya rakyat tetap mematuhi SOP memandangkan negara akan memasuki peralihan ke fasa endemik. – MalaysiaGazette