JOHOR BAHRU – Sebanyak 63 pusat mengundi bersiap sedia dibuka bagi proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 yang bermula 8 pagi, hari ini.
Lebih 22,000 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing layak mengundi hari ini.
Kemudahan di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor di Jalan Tebrau di sini dan 10 Ibu Pejabat Polis Daerah di seluruh negeri serta beberapa pejabat kerajaan turut dijadikan sebagai pusat mengundi.
Anggota tentera akan mengundi di Kem Mahkota, Kluang; Kem Tebrau, Ulu Tiram; Kem Batalio Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Batu Pahat dan Kem Rejimen Keempat Artileri Diraja (4RAD), Segamat.
Sementara itu, anggota PGA dan pasangan masing-masing akan mengundi di Batalion ke-5, pasukan PGA di Simpang Renggam, Kluang dan Batalion ke-6 PGA di Bakri, Muar.
Seramai 239 calon bertanding merebut 56 kerusi pada PRN kali ini.
Hari pengundian PRN Johor ditetapkan pada 12 Mac (Sabtu) ini. – MalaysiaGazette