Tabung Haji TH Dividend profit rate 3.1% 2021
Orang ramai yang datang untuk berurusan dengan kaunter Tabung Haji ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Menara Tabung Haji Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) meminta para pendeposit yang melebihi umur 18 tahun tetapi masih memegang Akaun Kanak-kanak di bawah jagaan untuk bertukar status kepada Akaun Dewasa.

Ini kerana akaun di bawah jagaan hanya boleh ditadbir oleh penjaga bagi kanak-kanak yang berumur bawah 18 tahun sahaja. Penukaran status akaun ini perlu dilakukan sebelum 1 Mei 2022.

Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abd Wahab berkata, pengumuman pelanjutan tempoh pada bulan November lalu adalah untuk memberi peluang kepada pendeposit yang berumur 18 tahun ke atas dan penjaga untuk melakukan proses penukaran status di cawangan-cawangan TH berdekatan.

”TH akan melaksanakan proses pembekuan transaksi pengeluaran sekiranya pendeposit gagal menukar status akaun bermula 2 Mei 2022.

”Dalam masa yang sama status link akaun antara akaun penjaga di bank dan Akaun Kanak-Kanak di TH akan terbatal serta pendaftaran haji juga tidak dapat dilakukan,” jelas beliau.

Oleh itu, TH menyaran kepada semua ibu bapa dan penjaga yang mempunyai akaun di bawah jagaan bagi anak yang berumur 18 tahun ke atas untuk datang bersama anak tersebut ke cawangan TH yang berdekatan bagi menukar status Akaun Kanak-Kanak ke Akaun Dewasa agak tidak timbul kesulitan di masa akan datang.

TH mengambil langkah ini bagi memastikan semua akaun pendeposit yang mencapai 18 tahun diuruskan oleh pendeposit itu sendiri dan rekod maklumat serta biometrik pendeposit berumur 18 tahun tersebut dikemaskini.

Tambahnya, TH juga menyarankan semua pendepositnya untuk memastikan akaun TH kekal berstatus aktif untuk terus menikmati manfaat menyimpan di institusi itu termasuk simpanan dijamin kerajaan, menerima agihan keuntungan, pengecualian cukai pendapatan selain boleh menyertai pelbagai kempen anjuran TH.

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan akaun atau sebarang perkhidmatan TH, orang ramai boleh merujuk di laman web rasmi, www.tabunghaji.gov.my atau terus menghubungi talian Khidmat Pelanggan (THCC) di 03-6207 1919. – MalaysiaGazette