Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir di majlis ramah mesra bersama pengundi DUN Kota Iskandar di Bilik Gerakan Parlimen Iskandar Puteri, Gelang Patah hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Barisan Nasional (BN) yakin mampu merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar dan DUN Skudai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keyakinan itu dinyatakannya setelah melihat perubahan ‘angin dan gelombang yang menggulung’ membantu calon BN sepanjang tempoh berkempen.

Presiden UMNO itu berkata, perubahan yang diperlihatkan selepas keputusan yang baik diperoleh menerusi PRN di Sabah dan Melaka yang memberi harapan baharu kepada pengundi di negeri ini.

“Kita merasakan gelombang begitu kuat, angin perubahan begitu kencang untuk memberi dokongan kepada calon BN pada PRN Johor ini.

“Ini kerana tentunya terdapat rasa penyesalan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) apabila kebanyakan pengundi kita termasuk pengundi putih pada ketika itu yang terbuai dengan isu dan fitah yang dibawa.

“Saya lihat persiapan jentera di Johor lebih baik dari Melaka yang kita menang 21 kerusi DUN, dengan jentera yang baik serta sokongan pengundi yang bertambah, kita akan rampas semula kerusi DUN Kota Iskandar dan Skudai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program ramah mesra bersama pengundi DUN Kota Iskandar di Bilik Gerakan Parlimen Iskandar Puteri, Gelang Patah di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi BN Iskandar Puteri, Datuk Mohammad Khairi A.Malik dan Pengerusi MCA Gelang Patah, Datuk Jason Teoh Sew Hock.

Kerusi DUN Kota Iskandar akan ditandingi oleh Pandak Ahmad mewakili BN menentang penyandangnya, Naib Pengerusi Parti Amanah Negara Johor,  Dzulkefly Ahmad, Samsudin Ismail (PN), Dr Zaini Abu Bakar (Pejuang) dan R. Arangkannal (PSM).

Bagi kerusi DUN Skudai pula, ia ditandingi calon MCA, Lim Soon Hai, Marina Ibrahim (PH) dan Khoo Kong Ek (PN).

Ahmad Zahid berkata, sokongan luar jangka yang diterima di DUN Kota Iskandar akan diteruskan sehingga hari akhir berkempen namun akan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditentukan.

“Saya bukan hanya melihat kepada laporan atas kertas tetapi turut melakukan tinjauan. Walaupun ia hanya merupakan kajian kualitatif, kita amat yakin pengundi Cina akan bertambah.

“Walaupun peratusan itu tidak setinggi yang kita harapkan tetapi ia lebih daripada yang diberikan kepada calon pada PRU-14,” ujarnya.- MalaysiaGazette