Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi calon Barisan Nasional (BN) N.14 Bukit Naning, Datuk Mohd Fuad Tukirin (kiri) dan calon Barisan Nasional (BN) N.12 Bentayan, Gan Q'i Ru (kanan) beramah mesra dengan penduduk cina bagi meraih undi ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Medan Selera 568, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 09 MAC 2022.

MUAR – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning, Datuk Mohd Fuad Tukirin berkata, gelombang ‘bossku’ yang dibawa oleh Datuk Seri Najib Razak memberikan suntikan semangat buat beliau.

Gelombang itu sangat kuat dan diterjemahkan dengan jumlah penyokong yang bersama-sama Najib setiap kali beliau turun padang mendekati para pengundi.

”Sungguhnya saya melihat gelombang Bossku di Pekan Bukit Bakri ini memberikan satu gambaran bahawa pengundi-pengundi akan menyokong BN.

”Saya berharap penduduk Bukit Naning untuk tunaikan tanggungjawab pada 12 Mac ini dan memberikan sokongan padu kepada calon BN,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sebagai calon yang bertanding, Mohd Fuad optimis BN akan diberikan mandat untuk merampas kerusi DUN Bukit Naning daripada PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Keyakinan tinggi itu berdasarkan sokongan kaum Cina yang semakin kukuh.

”Kerusi ini akan berpihak kepada kita dengan hasil kerja keras, jentera diperkukuhkan untuk kita meneruskan perjuangan yang semakin hampir berakhir.

“Saya berharap jentera BN dalam DUN Bukit Naning untuk meningkatkan usaha bagi meraih kemenangan pada 12 Mac nanti,” katanya lagi.

DUN Bukit Naning akan menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Mohd Fuad akan menentang penyandang Ysahrudin Kusni dari PKR, juga tiga calon lagi iaitu Mahadzir Abu Said (Perikatan Nasional), Datuk Ibrahim Shafe’e (Parti Pejuang Tanah Air) dan calon bebas, S. Jeganathan. – MalaysiaGazette