Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards.

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menaik taraf padang yang digunakan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos dengan menggunakan jenis rumput Zeon Zoysia.

Berita itu dikongsikan oleh Pengarah Teknikal kelab iaitu Alistair Edwards di mana pihaknya memutuskan untuk menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia kerana rumput tersebut turut digunakan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

“JDT akan menaik taraf akan menaik taraf padang ‘cow grass’ Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos kepada rumput jenis Zeon Zoysia yang sama seperti di Stadium Sultan Ibrahim.

“Selepas selesai di Larkin, Harimau Selatan juga akan menaik taraf padang-padang bola di Stadium Pasir Gudang dan Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam kepada rumput jenis yang sama.

“Penambahbaikan ini adalah sebahagian daripada usaha kawalan kualiti berterusan kelab untuk memastikan fasiliti bola sepak JDT berada di tahap yang terbaik,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab di Facebook Johor Southern Tigers.

Permukaan padang di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos menarik perhatian pada aksi pembukaan antara Johor Darul Ta’zim II (JDT II) menentang TRW Kelantan pada Sabtu lalu.

Permukaan padang ketika perlawanan Sabtu lalu dilihat tidak rata dan ada rumput yang tercabut di beberapa bahagian padang.

Bermula musim 2021, Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos menjadi markas utama bagi skuad pembangunan JDT manakala pasukan utama menggunakan Stadium Sultan Ibrahim. – MalaysiaGazette