Kenderaan terbabit kemalangan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pagi tadi. Foto Ihsan Bomba.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) di sini awal pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pukul 6.47 pagi seterusnya menghantar jentera bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa ke lokasi kejadian.

Menururt Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, setibanya pasukan bomba di tempat kejadian mendapati berlaku kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan iaitu Proton Waja, Perodua Bezza dan Toyota Alphard.

“Proton Waja dipandu seorang lelaki dipercayai terbabas memasuki laluan bertentangan lalu melanggar dua kenderaan lain. Mangsa berusia 37 tahun tersepit di dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.

“Mangsa telah meninggal dunia setelah disahkan oleh pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, pemandu Perodua Bezza disahkan mengalami cedera ringan manakala dua lagi individu menaiki Toyota Alphard tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette