Seorang mekanik dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas disabitkan bersalah atas dua tuduhan mengedar dadah kanabis seberat 615.5 gram lima tahun lalu.

MELAKA – Seorang mekanik dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas disabitkan bersalah atas dua tuduhan mengedar dadah kanabis seberat 615.5 gram lima tahun lalu.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ahmad Nasfy Yasin memutuskan hukuman itu selepas mendapati tertuduh, Izzat Asnawe Noor Azami, 26, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan hari ini.

Pihak pendakwaan, katanya, berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah yang antara lain keterangan tertuduh adalah penafian semata-mata dan tidak konsisten.

“Keterangan tertuduh tidak konsisten apabila menyatakan tiada barang salah dan kedudukan dadah jauh daripada dia.

“Mahkamah membuat penemuan tertuduh duduk di ruang tamu ketika ditahan bersama 10 ketulan mampat dadah ganja dan alat pemotong plastik,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Izzat Asnawe didakwa mengedar 449 gram dan 166.5 gram kanabis di sebuah rumah, No B-3-4 Jalan Malim, Taman Pangsapuri Malim pada kira-kira pukul 8.30 malam 1 Jun 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan terhadap tertuduh mengikut Seksyen 39A (2) kerana memiliki 166.46 gram kanabis serta masing-masing tiga tahun penjara mengikut Seksyen 12 (2), iaitu memiliki 5.2 gram methamphetamine dan 0.10 gram nimetazepam di tempat, masa dan tarikh sama.

Hukuman penjara ditetapkan berjalan serentak daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 1 Jun 2017.

Pendakwaan kes dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Muzila Mohamed Arsad manakala tertuduh diwakili peguam R Subash.

Sepanjang perbicaraan, seramai lapan saksi pendakwaan memberi keterangan manakala pembelaan mengemukan seorang saksi iaitu tertuduh.- MalaysiaGazette