Su Keong Siong

KUALA LUMPUR – DAP memberitahu Dewan Rakyat, bahawa blok pembangkang menyambut baik dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang akan dibentangkan minggu depan.

Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su Keong Siong berkata, beliau yakin RUU itu akan mendapat dua per tiga sokongan daripada seluruh Ahli Dewan Rakyat dalam perbahasan itu nanti.

“Dalam titah Yang di-Pertuan Agong pada 28 Februari lalu, tuanku menyeru kepada Ahli-ahli Yang Berhormat untuk terus mengekalkan persefahaman yang telah terbina dan juga memelihara kestabilan politik yang telah tercapai ini.

“Titah tuanku ini terkandung dalam Perjanjian Persefahaman Tranformasi (MoU) antara pembangkang dengan kerajaan iaitu penggubalan RUU Anti Lompat Parti.

“Penggubalan RUU ini bagi memastikan semua Ahli Parlimen tidak mengkhianati mandat rakyat yang telah membuat keputusan dalam satu-satu pilihan raya,” katanya dalam sesi perbahasan menjunjung kasih titah diraja di Parlimen petang ini.

Menurutnya, beliau sedar akan ada dialam kalangan Ahli Parlimen dari parti tertentu berasa kurang selesa apabila RUU ini diluluskan, kerana menghalang mereka daripada melompat parti.

Namun, katanya, perbuatan itu jika tidak dibendung akan menyebabkan kestabilan politik dalam negara tergugat seperti mana berlaku pada Langkah Sheraton tahun 2020.

“Saya yakin, kami dari blok pembangkang akan menyokong penuh kelulusan RUU ini. Ia juga selaras dengan titah tuanku yang ada menyeru Ahli Parlimen untuk terus mengekalkan persefahaman yang telah terbina dan juga memelihara kestabilan politik yang tercapai ini.

“Namun begitu, MOU yang dicapai ini tidak bermakna pembangkang akan berdiam diri dan tidak akan membantah polisi-polisi atau enakmen yang tidak adil dan wajar semata-mata kerana kami telah mendapat peruntukan sama seperti Ahli Parlimen kerajaan.

“Kami tetap akan menyuarakan masalah rakyat dan juga akan menjaga kepentingan rakyat apabila perlu atau dipanggil,” katanya. – MalaysiaGazette