Yeoh Soon Hin.

GEORGE TOWN – Pulau Pinang mengumumkan tiada lagi hotel di negeri itu dijadikan pusat kuarantin susulan industri perhotelan kini kembali bangkit pada pasca pandemik Covid-19.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, hotel yang sebelum ini dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) kini kembali beroperasi seperti biasa.

Jelas beliau, ia berikutan pengasingan rumah kini dibenarkan bagi pesakit positif Covid-19, selain PKRC yang dikendalikan kerajaan masih mencukupi untuk menampung pesakit.

“Industri hotel kini mendapat semula momentum menerusi aktiviti perniagaan dan pelancongan domestik selepas operasi mereka terkesan teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sudah tiba masa pengiat industri hotel di negeri ini beraksi seperti sedia kala iaitu menyediakan perkhidmatan hospitaliti terbaik kepada pengunjung masing-masing.

“Bagaimanpun, mereka masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Soon Hin berkata, tiga PKRC di Pulau Pinang iaitu Pusat Kecemerlangan Mara (MEC) Jawi di Nibong Tebal; Kompleks Masyarakat Penyayang dan Blok Pergigian Hospital Pulau Pinang (HPP) di Georgetown cukup untuk menampung kebarangkalian jangkitan Covid-19 di negeri ini.

“Selain itu, data juga menunjukkan kadar penghunian MEC sehingga semalam ialah 34 peratus manakala kadar penghunian Kompleks Masyarakat Penyayang dan Hospital Blok Pergigian HPP kekal pada 0 peratus.

“Malah, angka sehingga semalam juga menunjukkan pesakit yang menerima rawatan di wad di HPP adalah 70 peratus, Hospital Kepala Batas (69 peratus), Hospital Sungai Bakap (67 peratus) manakala Hospital Bukit Mertajam dan Hospital Seberang Jaya masing-masing 0 peratus,” ujar beliau.

Pada Jun tahun lalu, sebanyak 10 hotel di Pulau Pinang bersetuju dan membuat permohonan kepada Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) untuk menjadikan hotel mereka sebagai PKRC. – MalaysiaGazette