bursa ringgit
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka menyaksikan dagangan bergerak dalam jajaran kecil minggu depan kerana pelabur akan lebih berhati-hati berikutan ketidaktentuan pasaran serta perkembangan konflik Rusia-Ukraine yang masih belum pasti, kata seorang peniaga.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, sentimen pelabur masih belum stabil walaupun kegiatan memburu saham berharga murah dijangka muncul.

“Justeru, kami mengunjurkan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berlegar dalam julat 1,560-1,580 untuk minggu itu,” katanya kepada Bernama.

Dari segi teknikal, beliau menjelaskan bursa tempatan akan melihat tahap sokongan serta-merta pada 1,550 dan rintangan pada 1,600.

Untuk minggu yang baru berakhir, FBM KLCI kebanyakannya bergerak rendah, terutamanya pada hari Isnin, menyaksikan ia merosot 37.53 mata kepada paras terendah harian 1,565.57 pada penutupan, kerana ketegangan Rusia-Ukraine terus menjejaskan sentimen pelabur.

Bagaimanapun, pengumuman pembukaan semula sempadan Malaysia pada 1 April, 2022 sedikit sebanyak melonjakkan sentimen pasaran pada hari Rabu.

Langkah itu selaras dengan rancangan kerajaan untuk memasuki fasa ‘Peralihan ke Endemik’, serta usaha memulihkan ekonomi negara secara keseluruhan, terutamanya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik itu.

Pasaran tempatan agak terjejas oleh kenaikan harga minyak mentah yang berterusan apabila kerajaan Barat mengenakan sekatan untuk mengasingkan Rusia dengan mengambil langkah menghentikannya daripada pasaran minyak global.

Ini mendorong harga minyak melonjak ke paras hampir 14 tahun, dengan penanda aras global minyak mentah Brent mencecah US$139 setong pada hari Isnin, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap inflasi.

Bagi meredakan keadaan itu, Emiriah Arab Bersatu bersama-sama Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan Sekutu, telah mengekalkan komitmen untuk meningkatkan bekalan minyak sebanyak 400,000 tong sehari setiap bulan untuk mengisi jurang bekalan akibat perang Ukraine-Rusia.

Berdasarkan perbandingan mingguan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI menyusut 35.72 mata untuk mengakhiri minggu pada 1,568.22 daripada 1,603.94 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 316.49 mata kepada 11,762.88, Indeks FBMT100 menguncup 213.91 mata kepada 10,817.22, Indeks FBM Emas Syariah jatuh 316.49 mata kepada 11,762.88, indeks FBM 70 lebih rendah sebanyak 114.45 mata kepada 13,072.74, dan Indeks FBM ACE kerugian 249.58 mata kepada 5,258.48.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 143.21 mata kepada 16,250.02, Indeks Tenaga lemah 32.33 mata kepada 707.48, dan Indeks Perladangan turun 342.81 mata kepada 8,204.70.

Sementara itu, indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lega 8.53 mata kepada 204.69, Indeks Teknologi turun 0.17  mata kepada 71.53 dan Indeks Penjagaan Kesihatan susut 84.81 mata kepada 1,997.23.

Jumlah dagangan mingguan mengembang kepada 17.33 bilion unit bernilai RM16.71 bilion daripada 16.80 bilion unit bernilai RM17.96 bilion minggu sebelumnya.

Perolehan untuk Pasaran Utama meningkat sedikit kepada 11.85 bilion saham bernilai RM15.55 bilion berbanding 11.78 bilion saham bernilai RM16.77 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran mengukuh kepada 2.09 bilion unit bernilai RM288.95 juta daripada 1.70 bilion unit bernilai RM212.45 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE lebih tinggi kepada 3.36 bilion saham bernilai RM863.88 juta berbanding 3.29 bilion saham bernilai RM976.09 juta pada minggu sebelumnya. – MalaysiaGazette