Pasukan kebangsaan Malaysia pada sesi latihan perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 bagi menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Pemilikan pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah baginda ikhlas untuk menaja kos penanaman rumput baharu di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Namun Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu berkata, baginda tidak dapat berbuat apa-apa sekiranya tawaran yang dilakukannya itu tidak diterima pihak terlibat.

“Niat saya ikhlas untuk membantu.

“Rumput Zoysia di Stadium Sultan Ibrahim sudah terbukti. Tetapi kalau tidak diterima, saya tidak boleh buat apa2,” titah baginda.

Pada Mac tahun lepas, dilaporkan kerja-kerja menggantikan rumput dengan kos RM10 juta dijangka siap dalam masa tiga bulan (Jun 2021), yang turut merangkumi penyelenggaraan padang, sistem pengudaraan, sistem saliran, pencahayaan buatan serta latihan kepada penyelia rumput.

Namun, projek berkenaan masih belum bermula walaupun kerajaan telah meluluskan bajet, manakala stadium itu juga telah digunakan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bermula 21 Jun lepas.

Semalam, Bernama memetik sumber Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkata, sehingga ini masih belum ada apa-apa hitam putih antara kementerian itu dan TMJ, setakat tengah hari Jumaat (11 Mac).

Turut difahamkan bahawa Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) juga belum memutuskan jenis rumput bakal digunakan, kerana menunggu laporan daripada sebuah universiti tempatan mengenai jenis rumput paling sesuai bagi stadium itu.

“Badan Lembaga PSM akan membuat keputusan mengenai jenis rumput paling sesuai berdasarkan kepada bukti saintifik didapati daripada pakar runding. PSM dan KBS tidak mahu membuat keputusan terburu-buru, tetapi berdasarkan kepada laporan saintifik bagi mengelakkan berlakunya isu berkaitan rumput di stadium tersebut.

“Terdapat pandangan berbeza berkaitan ‘Cow Grass’, ada yang suka dan ada yang tidak. Kami juga perlu melihat kepada pelbagai aspek, termasuklah tujuan penggunaan stadium, jika ia terhad kepada bola sepak, ia akan memberi kesan kepada pendapatan PSM,” kata sumber itu.

Menurut Tunku Ismail, beliau akan akan melawat Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 19 Mac ini.

Dalam lawatan itu, titahnya, beliau akan berkongsi kos untuk padang baru dan kos penyelenggaraan setahun yang tidak melebihi RM240,000. – MalaysiaGazette