Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama pemimpin lain meraikan kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di BN Command Center, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 12 MAC 2022.

MUAR – Kemenangan dua pertiga Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam sudah dijangka.

Menurut penganalisis keselamatan dan politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, kemenangan besar itu boleh dilihat bersandarkan corak pengundian yang berjalan sepanjang proses PRN semalam.

“Antara yang mungkin menyumbang dalam kemenangan pilihan raya yang lepas adalah berkemungkinan kecenderungan undi tentera kepada BN.

“Faktor ini mungkin disebabkan faktor undi popular Menteri Pertahanan yang mempunyai rekod yang baik dalam pengurusan hal ehwal kebajikan anggota tentera dan imej Menteri Pertahanan yang positif,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lewat malam tadi mengumumkan BN memenangi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor yang diadakan semalam.

Ia sekaligus membolehkan BN menubuhkan kerajaan negeri tanpa perlu bergabung dengan mana-mana parti politik di Johor.

Untuk rekod, BN berjaya menguasai undi tentera yang memberikan undi mereka dan pasangan masing-masing kepada calon BN berbanding calon PN dan PH.

Seramai 11,057 pengundi tentera dan pasangan mereka mengundi di 10 DUN.

Jelas Dr Noor Nirwandy lagi, karisma Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga dilihat antara faktor undi tentera berpihak kepada BN.

“Faktor individu perlu diperakui menjadi faktor kemenangan dalam mana mana pilihanraya khususnya pilihanraya umum negeri dan ini memberi kelebihan pada BN kerana DS Hishamuddin adalah antara Menteri Pertahanan yang popular dalam kalangan anggota tentera.

“Kestabilan kerajaan adalalah sebahagian dari aspek keselamatan negara maka anggota tentera juga menyumbang kepada pembentukan kerajaan negeri yang kuat dalam aspek menstabilkan politik negara dengan mengundi gabungan yang boleh menjalankan tadbir urus sektoral dengan baik termasuk elemen pertahanan negara,” katanya lagi.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, BN berjaya meraih undi awal anggota keselamatan yang terdiri daripada tentera, polis serta pasangan mereka dalam PRN kali ini. – MalaysiaGazette