KUALA LUMPUR – Tindakan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang dilantik oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa Pakatan harapan (PH) memerintah bukan sahaja tidak mencerminkan ketegasan negara dalam mempertahankan kedaulatan.
Malah, tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketundukan kerajaan PH pada desakan luar dalam isu tuntutan waris masyarakat Sulu di Sabah yang tidak seharusnya dilayan telah meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang sukar.
Katanya, ini bukan sahaja perihal pampasan RM63 bilion, ia turut memalukan dan mengancam keselamatan awam.
Jelasnya, susulan tersebarnya surat bekas Peguam Negara lantikan PH seperti yang dilaporkan dalam pelbagai media, beliau membuat beberapa desakan.
“Pertama, bekas Peguam Negara lantikan PH ini mesti dipertanggungjawabkan. Harus ada penjelasan yang lengkap, telus dan munasabah dari beliau terhadap tindakan tidak bertanggungjawabnya itu.
“Adalah tidak pelik jika masyarakat bukan sahaja berasa marah dan ‘kesal’ dengan tindakan bekas Peguam Negara lantikan PH ini, tetapi ramai yang mula berasa tidak selamat.
“Mana tidaknya, kita sendiri yang mengaku dan mengiktiraf penceroboh mempunyai ke atas kita sekali pun selepas melakukan pencerobohan wilayah dan membunuh anggota keselamatan kita,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Semalam, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menuntut penjelasan PH sama ada surat yang dihantar Tommy kepada peguam berpangkalan di London yang mewakili keturunan Sultan Sulu pada 2019 diluluskan oleh Jemaah Menteri ketika itu.
Dalam surat itu, Tommy melampirkan salinan sebenar penghakiman Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Borneo Utara, Charles F Macaskie pada 1939 dan berkata, Malaysia tidak mempertikaikan identiti individu tersebut dan hak mereka untuk dibayar.
Beliau juga kesal kerana bayaran dihentikan pada 2013 selepas insiden pencerobohan Lahad Datu, selain menambah bahawa Malaysia “kini bersedia dan sanggup” membayar semua tunggakan anak guam Paul Cohen dari 2013 hingga 2019 berjumlah RM48,300.
Menurut Ahmad Zahid, desakan kedua, kerajaan mesti bertindak dan memanggil Tommy untuk tampil membuat penjelasan.
Malah, kata beliau, kerajaan mesti menubuhkan pasukan khas untuk meneliti keseluruhan perkara itu dan menerangkan kesemuanya kepada masyarakat.
“Ketiga, saya menyeru masyarakat untuk bersama-sama meneliti isu ini dengan rapat. Kita tidak boleh membiarkan Peguam Negara lantikan PH dan mereka yang terlibat dalam isu kedaulatan ini terlepas begitu sahaja.
“Sebelum ini, Pulau Batu Puteh sudah terlepas. Ini pula isu kedaulatan yang melibatkan Sabah. Mereka tidak boleh dibiarkan terlepas.
“Patutlah selama ini bekas Peguam Negara lantikan PH ini sangat beria-ia membuka pekung Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam bukunya Justice in Wilderness. Kononnya kakitangan kerajaan dalam AGC tidak kompeten, tidak cekap dan sebagainya,” ujar beliau.
Barangkali semua itu, katanya, hanya untuk menutup kelemahan dan kesilapannya dalam isu berkenaan sehingga sanggup memburuk-burukkan Jabatan Peguam Negara.
“Tommy harus sedar apa yang beliau lakukan itulah maksud sebenar ‘Justice in Wilderness’, satu keadilan dan proses kedaulatan undang-undang atau ‘rule of law’ yang diperkotak-katikkan secara sesuka hati.
“Yang pasti, hari ini jelas sekali lagi. Mereka yang selama ini hadir dengan ‘topeng’ dan laungan palsu mahu menjadi ‘penyelamat’ negara dengan naratif ‘Malaysia Baharu’, rupa-rupanya adalah dalang yang berpotensi menggadaikan kedaulatan negara.
“Kita lihat apa kata mereka yang mendukung bekas Peguam Negara lantikan PH ini. Parti MUDA, DAP, PKR, Amanah hatta Warisan harus mempunyai pendirian yang jelas. Atau pada mereka kedaulatan negara tidak penting?,” soalnya.
Menurut Ahmad Zahid, ‘Malaysia Baharu’ bukan sahaja satu propaganda politik, sebaliknya ‘baharu’ mereka itu telah membawa maksud baharu dalam cara mempertahankan kedaulatan negara.
“Oleh itu, mereka semua mesti bertanggungjawab,” ujarnya. – MalaysiaGazette