Malaysia dan 53 negara anggota Komanwel yang lain meraikan sambutan Hari Komanwel hari ini.

KUALA LUMPUR – Malaysia dan 53 negara anggota Komanwel yang lain meraikan sambutan Hari Komanwel hari ini.

Hari Komanwel disambut setiap tahun pada Isnin minggu kedua Mac bagi meraikan jalinan persamaan, ikatan persahabatan dan sumbangan Komanwel dalam mewujudkan keamanan dan keharmonian.

Menurut kenyataan Wisma Putra, tema Hari Komanwel 2022 adalah seiring dengan tema Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2022 iaitu ‘Delivering a Common Future: Connecting, Innovating, Transforming.

Ia berhasrat untuk mentransformasikan seluruh Komanwel menjadi masyarakat yang bertunjangkan nilai-nilai demokrasi, multilateralisme dan pembangunan mampan.

Komanwel ditubuhkan pada 1949 dan Malaysia menjadi negara anggota pada 1957.

“Sebagai ahli Komanwel, Malaysia telah menganjurkan CHOGM Ke-11 pada 1989.

“Pada sidang Kemuncak tersebut, Ketua-ketua Kerajaan telah memperakui Langkawi Declaration on the Environment.

“Dokumen tersebut menyeru agar negara anggota mengukuhkan kerjasama dalam menangani isu-isu alam sekitar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 1998, Malaysia menjadi negara Asia pertama menganjurkan Sukan Komanwel.

Malaysia mengalu-alukan penganjuran CHOGM Ke-26 di Kigali, Republik Rwanda pada Jun 2022.

Ketika sidang kemuncak tersebut, Ketua-ketua Kerajaan dijangka membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan pemulihan ekonomi pasca pandemik, akses kepada bekalan vaksin Covid-19 secara adil, selamat dan berpatutan, isu alam sekitar dan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan 2030. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast