ADUN Gambir baharu, Sahrihan Jani (kiri) menyantuni pengundi sebagai tanda terima kasih selepas memenangi kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor DUN Gambir di Kampung Meranti Sundai, Tangkak, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 14 MAC 2022.

TANGKAK – Biarpun Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah berakhir namun tumpuan masih lagi diberikan kepada calon Barisan Nasional (BN), Sahrihan Jani selepas kerajaan BN menang bergaya, Sabtu lalu.

Mana tidaknya, calon muka baharu itu berjaya menidakkan penguasaan Perikatan Nasional (PN) yang merupakan penyandang kerusi itu selama ini.

Sahrihan mengakui gelaran Yang Berhormat (YB) begitu janggal buat dirinya.

“Orang panggil YB ini satu yang pelik dalam hidup saya sekarang terutamanya rakan-rakan yang rapat. Bermula semalam saya sudah mula bergerak dan hari pertama bergelar YB pun dah mula bergerak.

“Kita santuni rakyat jadi saya fikir saya cuba lalukan yang terbaik untuk DUN Gambir dan yang paling penting doa semua,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Kampunhg Meranti Sundai, hari ini.

Temubual bersama ADUN Gambir baharu, Sahrihan Jani selepas menyantuni pengundi sebagai tanda terima kasih selepas memenangi kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor DUN Gambir di Kampung Meranti Sundai, Tangkak, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 14 MAC 2022.

Sahrihan yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Ledang berikrar akan menumpahkan segala kekuatannya demi kepentingan rakyat Gambir.

“Sekarang ini masa untuk bekerja dan paling penting bagaimana kita boleh buktikan kepada pengundi bahawa BN ikhlas untuk bela rakyat dan bagaimana kita nak makmurkan DUN kita dengan segala kemudahan fasiliti dan apa yang diperlukan oleh rakyat kita dapat tunaikan.

“Saya akan cuba penuhi dengan doa pengundi, saya akan laksanakan dengan sebaik mungkin sekarang,” katanya lagi.

Sahrihan dipilih menjadi ADUN Gambir apabila meraih 7,960 undi menewaskan calon PN Mohd Solihan Badri (4,814), calon PKR Naim Jusri (4,509) dan calon Pejuang Suraya Sulaiman (220) dengan majoriti 3,146 undi.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan salah satu kerusi DUN yang disebut-sebut sebagai kubu kuat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali bertukar tangan. – MalaysiaGazette