JOHOR BAHRU – Desas desus sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi bakal menjadi Menteri Besar Johor yang baharu masih belum diketahui setakat sekarang.
Sehingga berita ini ditulis masih belum ada sebarang pengumuman mengenai sebarang majlis angkat sumpah akan diadakan.
MalaysiaGazette bagaimanapun berjaya menghubungi Onn malam tadi namun beliau tidak menjawab soalan media.
”Minta maaf saya sedang sibuk, saya akan hubungi semula. Minta maaf. Bye,” katanya pendek sejurus menerima panggilan MalaysiaGazette.
Barisan Nasional (BN) yang memenangi 40 kerusi dalam pilihan raya negeri Sabtu lalu masih belum membentuk Kerajaan Johor.
Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikatakan telah mengadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Bagaimanapun, tiada kenyataan rasmi dibuat daripada Ahmad Zahid selepas pertemuan itu.
Namun, tidak lama kemudian, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad membuat kenyataan tentang cadangannya agar pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri Johor.
Alasan Hasni kerana beliau melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan Negeri Johor. – MalaysiaGazette