Judge Mohd Nazlan Mohd Ghazali 1MDB SRC International conflict of interest Najib Razak
Mohd Nazlan Mohd Ghazali

KUALA LUMPUR – Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mengendalikan kes penyelewengan dana  SRC International Sdn Bhd (SRC International) didakwa mempunyai konflik kepentingan berikutan beliau merupakan setiausaha syarikat dan ketua penasihat undang-undang Kumpulan Malayan banking Berhad (Maybank).

Menurut portal Malaysia Today, Mohd Nazlan sebelum ini bersama Suruhanjaya Sekuriti (SC) ketika pengaturan pembiayaan untuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilakukan.

“Kini Nazlan disahkan terlibat dengan urus niaga yang dilakukan dengan bekas peguam 1MDB (1Malaysia Development Berhad), Jasmine Loo,” katanya.

Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan mensabitkan dan mengenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mahkamah mendapati bekas Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International.

SRC International merupakan bekas anak syarikat 1MDB

Jasmine yang kini merupakan pelarian di samping Terence Geh Choh Heng dan Casey Tang Keng yang mana kesemua mereka merupakan Low Taek Jho atau Jho Low.

Menurut portal itu, salinan minit mesyuarat Maybank menunjukkan Mohd Nazlan terlibat dalam perkara-perkara yang membabitkan 1MDB, selain mesyuarat meluluskan pinjaman bank itu kepada 1MDB.

Semalam peguam Tan Sri Shafee Abdullah dalam sidang media berkata, pasukan peguam Datuk Seri Najib Razak akan memfailkan permohonan baru di Mahkamah Persekutuan untuk mengemukakan bukti baru (mengenai Nazlan yang dikatakan mempunyai konflik kepentingan) dalam rayuan SRC.

“Terdapat lebih RM4 bilion pinjaman daripada Maybank (kepada 1MDB untuk pengambilalihan Tanjong). Ia melalui pelbagai proses di Maybank, jawatankuasa risiko dan keseluruhan lembaga pengarah (Maybank).

“Salah seorang ahli jawatankuasa yang mendapat arahan ialah ketua undang-undang, penasihat undang-undang kumpulan, ketua nombor satu bahagian korporat dan undang-undang iaitu Nazlan, hakim yang mendengar kes SRC (terhadap Najib).

“Dia (Nazlan) sepatutnya hilang kelayakan (daripada perbicaraan SRC) kerana dia akan menjadi saksi di sini (perbicaraan 1MDB Najib).

“Jika pihak pendakwaan tidak memanggilnya (Nazlan), kami akan memanggilnya. Dia melalui semua proses (untuk pinjaman Maybank kepada 1MDB) dan dia memiliki pendapat tertentu apabila syarikat (1MDB) gagal membuat bayaran,” kata Shafee.

– MalaysiaGazette