Jangkitan baharu Covid-19 bertambah lagi  hari ini dengan 26,534 kes dilaporkan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan pertambahan jumlah jangkitan baharu Covid-19 dengan 26,534 kes direkodkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif yang dijangkiti wabak tersebut kini meningkat kepada 3,872,135 kes.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 25,843 kes adalah penularan tempatan manakala 691 lagi kes import.

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 376 di mana 222 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Berdasarkan perincian, Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes harian itu sebanyak 10,516 kes adalah dari kategori satu, manakala 15,842 lagi adalah dalam kategori dua.

Sebanyak 65 kes masing-masing dalam kategori tiga dan empat sementara 46 kes diletakkan dalam kategori lima.

Bagaimanapun katanya, kes sembuh baharu juga tinggi dengan 31,234 kes pulih sepenuhnya.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan, terdapat pertambahan empat lagi kluster baharu Covid-19 menjadikan jumlah kluster yang ditemui iaitu 6,887.

Jumlah kluster yang masih aktif adalah sebanyak 366 namun 6,521 kluster telahpun ditamatkan. – MalaysiaGazette